Bagi peminat karya filem tempatan, naskhah romantik komedi Istanbul Aku Datang arahan Bernard Chauly pasti kekal terpahat sebagai antara karya paling ikonik dan manis yang pernah mewarnai pawagam tanah air.

Selain jalan cerita yang segar dan runut bunyi yang menangkap emosi, paparan visual kota Istanbul yang memukau turut memainkan peranan besar dalam menghidupkan jiwa filem berkenaan.

Namun di sebalik visual yang mempesonakan itu, tersimpan sebuah catatan sejarah yang jarang sekali didengari umum.

Baru-baru ini, jurukamera berpengalaman negara, Haris Hue Abdullah, berkongsi satu pengalaman luar biasa sewaktu pasukannya menjayakan penggambaran filem tersebut di ruang dalaman salah sebuah monumen paling agung di dunia, Hagia Sophia.

Akses Eksklusif Rakam Di Ruang Dalaman Tanpa Pengunjung

Menerusi satu hantaran di platform Threads, Haris memuat naik sedutan syot bergerak yang memaparkan keagungan seni bina dewan utama bangunan bersejarah itu dalam keadaan sunyi dan lengang tanpa kehadiran seorang pun pelawat.

Bagi sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke Istanbul, melihat ruang dalaman Hagia Sophia yang kosong sepenuhnya adalah satu pemandangan yang hampir mustahil memandangkan tapak warisan dunia tersebut sentiasa dibanjiri ribuan pelancong pada setiap hari.

Apa yang membuatkan ramai terpana adalah pendedahan beliau mengenai betapa sukarnya mendapatkan kebenaran rasmi bagi merakam visual di ruang dalam monumen ikonik berkenaan.

“Rindunya syot ini. Bukan senang nak dapat permit penggambaran dalam masjid Hagia Sophia.

Satu orang pun tiada waktu itu! Kami adalah produksi kedua yang pernah buat penggambaran di dalam Hagia Sophia, selepas saluran National Geographic. Filem James Bond pun tak dapat permit penggambaran di ruang dalam ini,” kongsi Haris mengimbas memori indah pasukannya.

Pendedahan mengenai kebenaran merakam di bahagian dalam bangunan inilah yang menjadi punca utama rasa kagum peminat filem tempatan.

Ketika produksi gergasi antarabangsa seperti francais James Bond dilaporkan tidak berjaya mendapatkan akses di ruang dalam dan hanya merakam babak di luar kawasan monumen, pasukan kecil dari Malaysia ini sebaliknya diberi kepercayaan penuh melangkah masuk ke dalam dewan keramat berkenaan demi menjayakan visi pengarah.

Cabaran Satu Rakaman Tanpa Bantuan Tripod Dan Gimbal

'James Bond Pun Tak Dapat' – Kru 'Istanbul Aku Datang' Dedah Pernah Jadi Produksi Ke-2 'Shooting' Dalam Hagia Sophia
Sumber Gambar: Threads @harishue46

Diberi peluang memasuki tapak warisan bersejarah yang kosong tanpa pengunjung adalah satu nikmat besar, namun ia hadir bersama cabaran teknikal yang cukup mendebarkan bagi seorang jurukamera.

Menurut Haris, sesi penggambaran yang berlangsung sekitar tahun 2011 itu terikat dengan syarat permit pihak pengurusan yang sangat ketat. Antara syarat utamanya ialah larangan penggunaan sebarang tripod di atas lantai bagi memelihara struktur asal dan lantai bangunan warisan berkenaan daripada rosak.

Malah pada era tersebut, peralatan teknologi penggambaran tidak semudah hari ini. Tiada bantuan kecerdasan buatan atau gimbal elektrik moden yang boleh menstabilkan kamera secara automatik.

“Beginilah bagaimana syot itu dihasilkan pada tahun 2011 di Hagia Sophia. Tiada AI, tiada gimbal. Sebuah Steadicam digunakan untuk syot khusus ini dalam satu rakaman sahaja bagi memenuhi terma dan syarat permit penggambaran yang melarang penggunaan tripod,” jelas Haris.

Dalam situasi tersebut, pengendali kamera perlu menggalas bebanan set Steadicam dengan kawalan fizikal penuh. Beliau terpaksa mengimbangi langkah demi langkah merentasi ruang dewan yang luas agar visual kekal tenang dan stabil dalam sekali percubaan sahaja.

Pengiktirafan Berharga Buat Sinematografi Malaysia

Visual dalaman Hagia Sophia yang tenang dengan pantulan cahaya lampu gantung klasik itu bukan sahaja memukau peminat, malah turut mendapat pujian daripada rakan penggiat seni tanah air.

Pelakon berkaliber Beto Kusyairy turut meninggalkan reaksi kagum di ruangan komen dengan menyifatkan rakaman tersebut dirakam dengan begitu indah sekali.

Bagi industri perfileman tempatan, coretan di sebalik tabir ini membuktikan bahawa karya anak Malaysia bukan sahaja mampu bersaing dari sudut penceritaan, malah memiliki dedikasi, disiplin dan kepakaran teknikal bertaraf antarabangsa.

Peluang menjejakkan kaki dan mengabadikan seni sinematografi di sebuah mercu tanda bersejarah dunia pastinya akan terus menjadi kebanggaan sinema Malaysia untuk generasi yang akan datang.