Ketua Penolong Pengarah (Aduan, Risikan dan Operasi) AADK, Hamizan Haidzir menyatakan ramai individu yang terbabit dengan ketum menggunakan alasan untuk perubatan atau kesihatan.
Menurutnya, mereka yang mengambil ketum dengan jumlah yang banyak secara berterusan boleh mengalami ketagihan akhirnya menjejaskan otak, petik Harian Metro.
Baca Juga:
- Saari Amri Dedahkan Lagu Putus Terpaksa Tentang Wanita Bercinta Kaki Ketum

- Daun Ketum Kini Bernilai RM4 Bilion Di Amerika Syarikat

- Ketagih Air Ketum Punca Pelajar Malas Sekolah — AADK

“Salah satu bahan yang terkandung dalam jadual ketiga Akta Racun 1952 adalah mitragynine iaitu bahan psikoaktif yang terdapat dalam ketum.
“Bahan psikoaktif menyebabkan fungsi otak akan terjejas sehingga seseorang itu boleh berkhayal, persepsi terganggu dan keupayaan kognitif juga terjejas. Oleh kerana itu jika ketum yg mengandungi bahan psikoaktif diambil secara berterusan dengan kuantiti yang banyak boleh menyebabkan mereka mengalami masalah mental.
“Malah kesan pengambilan yang berlebihan juga seolah-olah mereka mengambil dadah seperti heroin, namun jika diambil dalam jumlah yang sedikit dan bancuhan yang tidak pekat, kesannya masih lagi dalam keadaan terkawal, dan memberi kesan stimulan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Tambahnya, pihak berkuasa juga tidak mengesahkan ketum adalah ubat yang selamat.
“Pengambilan ketum dalam kalangan anak muda sekarang adalah berbeza kerana mereka mengambil dengan bancuhan yang pekat dan berterusan sehingga memberi kesan seperti mengambil dadah opiat.
“Malah, ramai dalam kalangan mereka juga mencampur ketum dengan bahan lain termasuk ubat batuk bagi mendapatkan kesan yang luar biasa menyebabkan kebergantungan mereka saban hari semakin kuat terhadap bahan berkenaan.
“Bagaimanapun alasan yang sering kami dengar dalam kalangan mereka adalah mengambil ketum untuk berubat, sedangkan hakikatnya mereka mengambil untuk rasa seronok dan khayal,” katanya.