Sering kali kita disajikan dengan berita negatif mengenai pihak berkuasa sehingga wujudnya stigma buruk dalam kalangan masyarakat.

Namun, realitinya masih ramai anggota polis yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas.

Baru-baru ini, tular sebuah perkongsian di platform Threads yang membuka mata ramai pihak tentang sisi murni anggota Polis Diraja Malaysia ketika menjalankan tugas rondaan di kawasan perumahan.

TINDAKAN PANTAS JAM 1 PAGI

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Threads, sebuah rakaman kamera litar tertutup memaparkan kelibat kereta peronda polis di hadapan rumahnya pada jam 1.15 pagi.

Menurut beliau, anggota polis tersebut sedang membuat rondaan dan menyedari pintu pagar rumahnya terbuka luas pada waktu sebegitu.

Disebabkan bimbang sekiranya berlaku kejadian pecah rumah, kereta peronda tersebut gigih mengundur semula untuk meninjau keadaan dan memastikan keselamatan penghuni di dalamnya terjamin.

Malahan, mereka siap mengetuk pintu dan mahu mengesahkan keselamatan tuan rumah pada ketika itu dan memaklumkan keadaan pintu pagar yang terbuka.

LUAHAN RASA TERHARU PEMILIK RUMAH

Perasaan terkejut dan terharu menyelubungi wanita tersebut melihat keprihatinan pihak polis. Dalam hantarannya, dia sempat menitipkan pesanan berbunyi, “korang janganlah pukul rata semua polis, ada sahaja polis yang buat kerja baik.”

Dia turut menambah bahawa polis tersebut sanggup berpatah balik kerana menyangka rumahnya sedang dirompak berikutan pagar yang tidak ditutup.

Wanita itu juga tidak menyangka perkongsian ringkas tersebut tular dan menegaskan bahawa dia sekadar ingin berkongsi sisi baik pihak berkuasa.

Meskipun kejadian itu berlaku tahun lalu, ia tetap membuka mata masyarakat bahawa masih ada sinar integriti dalam pasukan pihak berkuasa, biarpun diasak pelbagai isu baru-baru ini.

REAKSI POSITIF DARI WARGANET

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji tindakan pantas anggota berkenaan dan menghargai usaha memviralkan perkara yang baik.

Seorang pengguna yang juga merupakan anggota polis meluahkan rasa terima kasih atas kepercayaan masyarakat terhadap mereka.

Dia tidak menafikan wujudnya isu integriti dalam pasukan, namun berharap masyarakat tidak menghukum semua anggota hanya kerana kesalahan segelintir pihak.

Malah, ada juga warganet yang sempat berkongsi cerita menarik mengenai pengalaman rakan mereka berdepan dengan integriti polis.

Kisah tersebut menceritakan bagaimana seorang anggota di Johor dengan tegas menolak rasuah sebanyak puluhan ribu ringgit demi menjaga maruah pekerjaannya, lantas menyuruh individu tersebut mengambil semula wang itu dan melantik peguam daripada mengganggu kehidupannya.

Tidak kurang juga netizen yang berseloroh memuji anggota yang masih gigih menggunakan kereta peronda model lama namun komited memberi perkhidmatan terbaik.

Kisah pendek ini membuktikan bahawa nila setitik tidak seharusnya merosakkan susu sebelanga.

Walaupun ada segelintir yang tersasar, masih ramai perwira negara yang sanggup berjaga malam dan menjalankan amanah demi memastikan keselamatan awam terjaga. Kebaikan sekecil ini sememangnya wajar dihargai untuk dijadikan teladan kita bersama.