Jika ada satu perkara yang tidak dapat disangkal tentang Malaysia, ia adalah kehebatan dan kepelbagaian makanan lazat yang ada di sini.
Dari nasi lemak, satay, hingga ke roti canai dan teh tarik, pilihan makanan di negara ini memang banyak.
Namun, dalam satu perkongsian seorang penulis dan pengasas perniagaan, dia mendedahkan sisi lain negara ini — hidup di Malaysia boleh ‘mengerikan’ kalau tujuan utama anda ialah untuk kurus.
Beliau yang berpindah dari Brunei ke Malaysia, berkongsi pengalamannya di platform sosial Linkedin dengan mengatakan bahawa walaupun dia menyukai kehidupan di sini, godaan makanan tempatan yang lazat dan pelbagai telah menyebabkan berat badannya naik sebanyak 10 kg dalam tempoh 10 tahun.
Sebagai seseorang yang berasal dari Brunei, beliau tidak biasa dengan pilihan makanan yang banyak seperti di negara ini.
Setibanya di sini, dia mendapati bahawa Malaysia bukan sahaja terkenal dengan juadah yang lazat tetapi juga pelbagai variasi yang sentiasa menarik hati.
Baginya, terlalu banyak pilihan makanan di mana-mana saja, hingga sukar untuk menahan diri daripada mencuba segalanya.
Dia menyatakan bahawa masalah utama bukanlah hidup di Malaysia, tetapi pilihan makanan yang banyak.
Walaupun dia merasakan bahawa godaan makanan di Malaysia agak “mengerikan,” dia turut berkongsi satu berita baik — Malaysia dipenuhi dengan hutan simpan, taman, gimnasium, dan kolam renang.
Jadi, bagi mereka yang terpengaruh dengan tarikan makanan, masih ada masa untuk membakar kalori tersebut.
Bagi beliau ini bermakna walaupun berat badannya bertambah, dia masih boleh keluar untuk menikmati alam semula jadi atau bersenam di kemudahan-kemudahan yang ada untuk memastikan bahawa gaya hidup seimbang.
Kenyataan beliau ini mendapat perhatian netizen dengan sebahagiannya kurang bersetuju dengannya sambil memberi alasan bahawa semua itu boleh dikawal.
Manakala sebahagian netizen pula bersetuju dengan berkongsi pengalaman bagaimana mereka terkejut dengan juadah makan pagi di negeri-negeri pantai timur yang kebanyakannya banyak dan pelbagai.