Ketahanan iPhone sememangnya menjadi perbualan hangat lebih-lebih lagi sejak panel belakang dibuat daripada stainless steel yang tahan lasak. Namun, siapa sangka iPhone 14 Pro yang menggunakan bahan binaan itu boleh menahan impak daripada ribuan kaki di atas awan biru?

Terbaharu, telefon pintar iPhone milik penumpang pesawat Alaska Airlines ASA 1282 ditemui dalam keadaan selamat selepas terjatuh dari ketinggian 16,000 kaki.

Baca Juga:

Telefon bimbit berkenaan dilapor terjatuh dalam kejadian tingkap dan sebahagian fiuslaj pesawat Boeing 737-9 MAX tercabut ketika penerbangan dari Portland, Oregon ke Ontario, California.

“Menurut News18, kejadian melibatkan pesawat milik Alaska Airlines itu disahkan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat.

Apa yang menariknya dari insiden itu adalah peranti iPhone berkenaan telah berkongsi kejadian di platform X. Bahkan, telefon iPhone itu kelihatan dalam keadaan yang baik tanpa sebarang cacat cela seperti kesan retak pada skrin utama dan seumpamanya.

“Sebuah iPhone ditemui di tepi jalan. Masih dalam tetapan mod terbang dengan bateri separuh.

“Telefon ini dipercayai milik penumpang Alaska Airlines ASA1282. Terselamat selepas terjatuh dari ketinggian 16,000 kaki.

“Apabila saya menghubungi NTSB untuk melaporkan penemuan ini, wakilnya memaklumkan ini adalah telefon kedua yang ditemui,” katanya.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh Sean, iPhone yang ditemui dipercayai model iPhone 14 Pro dan ke atas kerana didapati memiliki ciri Dynamic Island padanya.

Menurut Channel News Asia, Pengerusi NTSB, Jennifer Homendy turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut.

Jennifer dikatakan akan menguruskan satu pertemuan dengan Bates berhubung penemuan berkenaan.

Sebelum ini, Jennifer berkata pihaknya akan memulangkan semula semua barang penumpang yang ditemui selepas siasatan selesai.

Beliau juga meluahkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku akibat kejadian itu. Terdahulu, Alaska Airlines terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas selepas tingkap dan sebahagian fiuslaj pesawat itu tercabut.