Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melalui satu proses transformasi berkenaan dengan aspek perbelanjaan pasukan tersebut.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) sebentar tadi, beliau memberikan isyarat jelas bahawa bakal terdapat pengurangan dalam perbelanjaan pasukan pada musim 2024/25.

Baca Juga:

“Setelah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk insfrastruktur bola sepak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu membuat penstrukturan kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.”

“Kelab telah memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30-40% untuk membolehkan proses tersebut. Kami tidak akan membelanjakan wang. Kami akan mengurangkan perbelanjaan kami.”
“Harimau Selatan akan melakukan transformasi kelab yang akan menyaksikan beberapa perubahan membabitkan kakitangan menjelang musim 2024 dan 2025.”
“Ini termasuk para pemain dan staf teknikal yang akan dilepaskan oleh kelab,” ujar Alistair Edwards.
Langkah penting bakal diambil itu sekali gus secara tidak langsung menjawab spekulasi di media sosial mengatakan pemain-pemain yang sering memanaskan bangku simpanan serta kurang mendapat minit permainan akan dilepaskan oleh skuad juara 10 kali berturut-turut saingan Liga Super tersebut.
Pemain seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Haziq Nadzli, Mohamadou Sumareh, Adam Norazlin, Syameer Kutty Abba dikatakan merupakan antara nama yang bakal meninggalkan pasukan.