Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan juara Liga Korea Selatan, Ulsan HD 3-0 pada aksi keempat AFC Champions League Elite (ACLE) kelmarin menyaksikan pasukan itu mengaut USD100,000 (RM440,500) sebagai hadiah kemenangan.

Berdasarkan manual pertandingan dalam ACLE, setiap pasukan yang meraih kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan akan membawa pulang USD100,000.

Baca Juga:

Ini adalah kemenangan kedua JDT selepas menewaskan kelab China, Shanghai Shenhua 3-0 sekaligus mengutip USD200,000 (RM881,000) selepas mengharungi empat perlawanan.

Sebelum itu, mereka sudah menerima USD800,000 (RM3.5 Juta) sebagai imbuhan menyertai saingan peringkat kumpulan ACLE sekaligus mengumpulkan RM4.4 Juta setakat ini.

Pasukan yang mara ke peringkat 16 pasukan terakhir bakal mendapat tambahan wang tunai sebanyak USD200,000 (RM881,000).

Sekiranya mara ke peringkat suku akhir, kelab bakal mendapat tambahan hadiah sebanyak USD400,000 (RM1.7 Juta). Malah, pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir turut mendapat habuan lumayan sebanyak USD600,000 (RM2.6 Juta).

Juara AFC Champions League Elite akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD12 Juta (RM52 Juta). Pasukan yang bergelar naib juara pula bakal mendapat USD6 Juta (RM26 Juta).

Berdasarkan kedudukan semasa carta liga kumpulan Zon Asia Timur, JDT kini berada di kedudukan keempat dengan 7 mata di belakang Vissel Kobe, Gwangju FC dan Yokohama F. Marinos.

Lapan pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke peringkat 16 pasukan terakhir yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 12 Mac 2025. Dua perlawanan secara timbal balik diadakan untuk mencari pasukan ke peringkat suku akhir.

Aksi suku akhir, separuh akhir dan final berlangsung di venue berpusat dengan Arab Saudi telah disahkan sebagai tuan rumah bagi saingan musim 2024/25 dan 2025/26.