Dua kelab Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor berada dalam senarai kelab paling bernilai di rantau Asia Tenggara bagi saingan musim 2024/2025.

Penilaian bagi musim ini dikongsikan oleh Asean Football di laman X dan dua kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini berada dalam senarai 10 teratas.

Baca Juga:

JDT yang juga juara bertahan Liga Super menduduki tangga kedua dimana kelab itu mempunyai penilaian sebesar 10 Juta Euro atau sekitar RM47 Juta dibelakang kelab Thailand iaitu Buriram United dengan nilai 12 Juta Euro.

BG Pathum United berada di tangga ketiga dengan nilai 9.50 Juta Euro diikuti Port FC di tangga keempat dengan 7.15 Juta Euro. Satu lagi kelab Thailand iaitu TRUE Bangkok United berada di tangga kelima dengan 7.03 Juta Euro.

Pasukan Selangor pula berada di tangga keenam kelab paling bernilai di Asia Tenggara dimana skuad kendalian Nidzam Jamil itu mempunyai nilai sebesar 6.98 Juta Euro atau sekitar RM32 Juta.

Satu-satunya kelab Singapura dalam kedudukan 10 teratas, Lion City Sailors berada di tangga ke-7 dengan nilai 6.40 Juta Euro diikuti tiga kelab dari Vietnam iaitu Nam Dinh FC, Hanoi FC dan Cong An Ha Nioi melengkapkan senarai.

Di peringkat Asia pula, kelab yang beraksi dalam saingan liga Arab Saudi mendominasi dimana lima kelab menduduki tangga pertama hingga kelima bagi kategori kelab paling bernilai musim ini.

Al-Hilal yang diperkuatkan oleh pemain seperti Neymar dan Ruben Neves menduduki tangga pertama diikuti oleh Al-Nassr yang diperkuatkan oleh pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Sadio Mane di tangga kedua.

Al-Ahli berada di tangga ketiga manakala Al-Ittihad berada di tangga keempat diikuti oleh Al-Qadsiah di tangga kelima.