DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan titah pesanan kepada pengurusan pasukan Selangor FC, kelab-kelab penyokong Selangor FC dan juga semua penyokong khususnya Ultras Selangor yang hadir ke stadium pada setiap perlawanan.
Mengambil kira keadaan semasa dan prihatin dengan semangat persaingan yang kian memuncak dalam saingan Liga Super, pada 10 Oktober 2024, Baginda telah pun menitipkan sepucuk warkah kepada pihak pengurusan Selangor FC.
Baca Juga:
- Selangor FC Mohon Maaf Kepada Media, Pegawai Terlibat Tidak Dibenarkan Ke Stadium
- Pegawai Selangor FC Dianggap Tidak Profesional Selepas Keluarkan Kata-Kata Kesat Kepada Pengamal Media
- Shahrom Kalam, Abdi Hassan Kini Penolong Ketua Jurulatih Selangor
Dalam warkah berkenaan, Baginda mengingatkan semua pihak agar menjaga tingkah laku masing-masing supaya tidak berlaku lagi perselisihan faham dan pergaduhan di dalam mahu pun luar padang, yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.
“Baginda mahu setiap pemain dan juga penyokong harus bijak dan rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan.
“Titah Baginda, sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil tauladan daripada setiap kekalahan.
“Baginda ingin terus melihat bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat jelata tanpa ada anasir-anasir luar yang cuba merosakkannya.
Baru-baru ini, pasukan Selangor menjadi perhatian selepas salah seorang pegawai Selangor FC dilaporkan telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengamal media yang turun ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi membuat liputan perlawanan ke-12 saingan Liga Super Malaysia 2024/25 itu.
Perkara tersebut disahkan oleh portal media sukan tempatan, Flash Sukan yang mengeluarkan kenyataan rasminya baru-baru ini.
“Tambah memalukan, tindakan itu berlaku di tempat lawan yang mana pihak tuan rumah telah memberikan layanan terbaik buat pihak media yang sentiasa berada di lapangan untuk memberikan laporan yang tepat dan sahih.
Tambah Flash Sukan lagi, pegawai tersebut sebelum ini merupakan salah seorang daripada pegawai Selangor yang pernah dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 ekoran kesalahan melakukan provokasi melampau ketika perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memohon maaf kepada pengamal media yang menjadi mangsa dalam insiden berkenaan.
“Pengurusan sudah berbincang dan akan pastikan pegawai terbabit tidak berada di padang atau stadium lagi,” katanya.