Tindakan pemain Selangor memakai jersi kelab dari luar negara mengundang kemarahan para penyokong setia Gergasi Merah kerana dilihat tidak menghormati kelab sendiri.

Apatah lagi, pemain tersebut tampil dengan jersi Manchester United ketika acara rasmi kelab pada Program Madani Rakyat di Kuala Selangor sekaligus mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.

Baca Juga:

Menurut Ultra Selangor (Ultrasel), ia bukan perkara yang remeh kerana pemain itu jelas melakukan tindakan bodoh dan tidak menghormati lencana pasukan yang diwakilinya dalam acara rasmi.

“Pintar dalam bekerja, bodoh dalam urusan menjaga kebanggaan. Kelab tiada protokol kah? Terlepas pandang? Perkara remeh?

“Jika benar kiblatnya bola sepak Eropah, kena tahu pula di Eropah tiada pula perkara lucu ini berlaku bahkan jika ada nescaya sudah kena terajang keluar si pelaku.

“Acara kelab lain tapi identiti kelab lain pula dipertontonkan. Sungguh lucu!,” kata Ultrasel dalam satu kenyataan.

Ultrasel turut menegaskan soal menjaga nama serta maruah pasukan adalah sangat penting bagi setiap pemain dan tiada individu yang lebih besar daripada kelab.

Ia ibarat anda bekerja di Petronas tetapi hadir ke pejabat dengan memakai uniform syarikat lain seperti Shell. Ini dianggap sebagai melanggar kod etika pemakaian seorang pekerja.

“Kalau pekerja pun tak boleh nak ‘respect’ (hormat) majikan, ambil tindakan. Bukan tutup mata, senyum lebar. Majikan ada kuasa untuk denda pekerja yang tak boleh nak hormat majikan.

“Sering diingatkan dan baru beberapa hari lepas juga dalam ucapan ‘Dirgahayu ke-88’ menekankan soal menjaga  nama kebanggaan. Jangan meremehkan soal tersebut! Kelak kelucuan demi kelucuan ditonjolkan maka nilai kebanggaan itu sama tinggi dengan kebodohan,” tegas Ultrasel.

Selain Selangor, Sri Pahang turut dikecam di laman sosial beberapa hari lepas kerana memaparkan gambar seorang pemain memakai jersi kelab luar ketika hadir ke sesi latihan pasukan.