Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk muncul juara Piala FA 2025/26 selepas membenam cabaran Sabah 5-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kejayaan manis itu merupakan kejuaraan Piala FA keempat berturut-turut dijulang JDT yang sekali gus menjadikannya koleksi kelima buat mereka dalam sejarah kelab tersebut.
Jumlah yang turut menyamai rekod Selangor dan Kedah sebagai pemenang terbanyak dalam sejarah kejohanan itu.
Turun selaku pasukan pilihan, JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Jonathan Cristian Silva meletakkan nama selaku penjaring gol pertama pada minit kelapan.
Berpunca daripada sepakan percuma Oscar Arribas, pemain pertahanan itu melakukan tandukan yang hanya mampu dipandang penjaga gol Sabah, Damien Lim Cien Khai.
Jonathan hampir menambah gol kedua pada minit ke-19 tetapi percubaan separa voli diledakkannya dalam kawasan penalti hanya sedikit melewati palang gol.
Seminit kemudian, kem JDT melonjak kegembiraan sekali lagi selepas hantaran lintang cuba dilakukan Manuel Hidalgo membias terkena Rawilson Batuil lalu bola masuk ke gawangnya sendiri.
Tidak cukup dengan itu, Jairo Da Silva pula menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-22 apabila tandukan terbang dilakukannya tidak mampu diselamatkan Damien untuk mengukuhkan lagi kedudukan.
Sabah yang sesekali cuba mencipta gerakan berhasil mendapatkan jaringan pada minit ke-26 menerusi Ajdin Mujagic tetapi gol tersebut dibatalkan selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesan beliau terlebih dahulu mengasari Natxo Insa.
Memasuki minit ke-50, Sabah terus dirundung malang setelah Miguel Angel Cifuentes diperintahkan keluar padang berikutan kad kuning kedua yang diterima.
Keadaan itu jelas merentap semangat Sabah yang kelihatan bermula dengan baik sebaik sahaja babak kedua bersambung.
Kelebihan itu digunakan sepenuhnya anak-anak buah Xisco Munoz untuk mendominasi permainan dan berjaya menambah jaringan keempat pada minit ke-64.
Bermula daripada kesilapan Daniel Ting yang cuba melakukan hantaran kepada R. Dinesh dalam kawasan penalti, Oscar Arribas bertindak pantas dalam merampas bola dan disusuli dengan percubaan leret yang membolosi gawang Sabah.
Pesta jaringan tersebut tidak terhenti di situ sahaja apabila Hidalgo mencipta jaringan kelima pada minit ke-92 hasil gerakan solo dalam kawasan penalti dan menewaskan penjaga gol gantian, Khairul Fahmi Che Mat.
Keputusan selesa itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan Piala FA 2025/26 menjadi milik skuad Harimau Selatan.