Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal ‘terbang’ ke Eropah untuk menjalani sesi latihan pra-musim di Sepanyol bermula 14 hingga 30 April nanti.

Sepanyol menjadi lokasi terbaharu buat juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu sebagai persiapan menghadapi musim 2024/25  dimana sebelum ini kelab tersebut memilih untuk ke Dubai (Emiriah Arab Bersatu) sejak 2020.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai persiapan pasukan itu disahkan laman sosial JOHOR Southern Tigers dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjalani kempen pramusim di Sepanyol dari 14 hingga 30 April dengan tujuh perlawanan persahabatan bakal dihadapi dalam tempoh dua minggu tersebut.”

“Harimau Selatan akan berpangkalan di Melia Villaitana Football Centre di perbandaran Benidorm di Alicante, Sepanyol.”

“Selepas kempen pramusim yang menggalakkan sebelum ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, JDT teruja untuk menghadapi cabaran baharu di Sepanyol untuk persiapan skuad Harimau Selatan menghadapi musim 2024-25. Luaskan Kuasamu Johor.”

Selain dalam misi untuk menjulang kesemua piala domestik, JDT turut fokus dalam usaha untuk muncul sebagai antara pencabar terhebat dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite.

Sehubungan dengan itu, skuad yang kembali dibimbing oleh Hector Bidoglio telah membawa masuk pemain import berkualiti seperti Elias Jalil, Nicolao Dimitru, Francisco Geraldes dan Murilo Henrique disamping turut mengekalkan peledak berpengalaman, Fernando Forestieri dan Bergson da Silva.