Pemain sayap dari Argentina, Manuel Hidalgo kembali perkuat jentera serangan Sri Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Bagaimanapun, Hidalgo kali ini menyertai Tok Gajah secara pinjaman daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA FC) musim lepas.

Baca Juga:

Selain Hidalgo, JDT juga mengumumkan telah menandatangani Azam Azmi, Declan Lambert dan Ryan Lambert.

“Kami juga dalam perbincangan untuk menandatangani seorang penjaga gol.

“Azam dan Declan masing-masing telah dipinjamkan semula ke Terengganu dan Kuala Lumpur manakala Hidalgo akan dipinjamkan ke Pahang.

“Sementara itu Ryan akan berlatih dengan pasukan utama Harimau Selatan, dan sama ada akan dipinjamkan juga atau diserap ke dalam skuad JDT 2024-25,” kata kenyataan rasmi Alistair Edwards, CEO JDT.

Hidalgo sendiri tidak asing dengan pasukan Pahang dimana kali pertama beliau beraksi di Malaysia ialah bersama pasukan itu pada musim 2022.

Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh pemain berusia 24 tahun itu berjaya menarik minat Kedah yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain untuk mendapatkan khidmatnya pada musim lalu.

Isu kewangan yang melanda Kedah sekaligus menyebabkan beberapa pemain utama memutuskan untuk berhijrah ke pasukan lain yang lebih stabil.

Musim lalu, Sri Pahang bimbingan Fandi Ahmad menamatkan saingan di tangga kelima dalam carta Liga Super.