Pelan transformasi berhubung penjimatan perbelanjaan yang diumumkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyaksikan jodoh kelab gergasi tanah air itu bersama ketua jurulatih, Esteban Solari turut sampai ke penghujung.
Mula membimbing skuad Harimau Selatan pada awal musim 2023, Solari terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu.
Selain Solari, empat lagi individu yang berada dalam barisan kejurulatihan serta enam pemain turut meninggalkan pasukan.
Perkembangan yang boleh dikatakan mengejut itu disahkan menerusi kenyataan di laman sosial rasmi JOHOR Southern Tigers (JST), sebentar tadi.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada barisan kejurulatihan, pemain dan kakitangan yang akan meninggalkan kelab.”
“Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40% disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.”
“Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.”
“Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.”
“Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.”
“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli. Luaskan Kuasamu Johor.”