Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpendapat pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 bersikap adil terhadap ketua pasukannya iaitu Jordi Amat.

Esteban Solari berkata demikian ketika ditanya mengenai insiden melibatkan Jordi Amat pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Baca Juga:

Menurut Solari, Jordi tidak sepatutnya dilayangkan kad merah kerana pemain itu hanya melakukan satu atau dua kekasaran sahaja ketika permainan.

“Saya tak rasa beliau patut dilayangkan kad merah. Kalau anda semua lihat, ketika permainan Jordi hanya melakukan satu atau dua kesalahan dan tidak lebih dari itu.

“Jadi saya rasa adil beliau hanya dilayangkan kad kuning atas kesalahan yang dilakukannya,” kata Solari.

Pengadil sekali lagi mendapat perhatian dalam aksi final kali ini dimana peminat bola sepak tanah air mengkritik mutu pengadilan yang ditampilkan oleh S. Logeswaran.

Ketika insiden dimana Jordi mengasari Ivan Mamut dalam kawasan penalti, Logeswaran lambat membuat keputusan sedangkan ketua pasukan skuad kebangsaan Indonesia itu jelas mengasari penyerang lawan.

Logeswaran akhirnya memberikan sepakan penalti namun hanya melayangkan kad kuning terhadap Jordi. Ramai pihak berpendapat pemain itu sepatutnya dilayangkan kad merah kerana menafikan peluang pemain lawan untuk menjaringkan gol.

Satu lagi insiden turut melibatkan Jordi dan Mamut pada separuh masa kedua dimana bekas pemain Swansea City itu menarik Mamut sehingga terjatuh namun pengadil tidak melayangkan kad kuning kedua terhadap Jordi.

Selain itu, Logeswaran dilihat terlalu mudah memberikan sepakan penalti kepada JDT ketika awal permainan dimana jelas dilihat Forestieri sengaja menjatuhkan badan sedangkan pemain Terengganu tidak mengasari beliau.

Ada juga peminat yang menggelarkan perlawanan Piala Malaysia edisi kali ini kurang serinya ekoran isu pengadil selain permukaan padang yang tidak sempurna.