Satu insiden telah mencuri perhatian ramai apabila pengera kebakaran di sebuah hotel di Mekah berbunyi, mencetuskan panik di kalangan jemaah haji – terutama sekali warga emas dari Indonesia.

Namun siapa sangka, punca kepada insiden ini sebenarnya adalah disebabkan rokok.

Kejadian yang berlaku pada Ahad (8 Jun 2025) di lantai 19 hotel tersebut tular selepas dimuat naik oleh akaun X @bacottetanggaid.

Kejadian Di Mekah: Bunyi Pengera, Jeritan Panik

Dalam video yang kini mendapat ribuan tontonan, kedengaran bunyi pengera kebakaran, diiringi dengan jeritan panik dan kekeliruan jemaah yang cuba memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Mekah

Rupa-rupanya, segala kekecohan itu berpunca daripada empat orang jemaah haji lelaki yang secara selamba merokok di dalam bilik hotel mereka.

Asap dari rokok itu mencetuskan tindak balas pada sistem pengesan asap automatik, menyebabkan pengera kebakaran berbunyi seolah-olah ada kebakaran besar berlaku di bangunan itu.

Beberapa jemaah haji di Mekah, termasuk warga emas, dilaporkan menangis ketakutan.

Mereka bingung dan cemas, apatah lagi bila mereka berada di tingkat 19 – jauh dari tingkat bawah dan sangat sukar untuk turun melalui tangga darurat dalam keadaan kecemasan.

Mekah

“Ada ibu-ibu tua yang sampai menangis pak. Saya sendiri pun ikut nangis,” luah seorang jemaah lelaki yang kelihatan masih emosional ketika dirakam.

Seorang jemaah wanita pula kedengaran menegur, “Bapak suruh keluar biar lihat gimana akibat tindakannya.”

Jemaah Haji Di Mekah Serang Perokok

Selepas punca asap dikenalpasti, beberapa jemaah lain yang marah terus menyerbu bilik para perokok terbabit, menuntut mereka untuk keluar dan melihat sendiri apa yang telah berlaku.

Ada yang mengaku tidak menyangka ada orang yang sanggup merokok sewenang-wenangnya dalam hotel ketika ibadah haji – apatah lagi di kawasan yang jelas-jelas dilarang merokok.

Mekah

Walaupun belum ada kenyataan rasmi dari pihak berkuasa berhubung insiden ini, netizen dan masyarakat haji sendiri sudah memberikan reaksi keras.

Banyak yang menekankan pentingnya kesedaran dan empati ketika berada dalam perjalanan suci seperti ini – di mana keselamatan dan keselesaan bersama perlu dijaga sepenuhnya.