Selepas apa yang terjadi dengan jenama Marks & Spencer, nampaknya jenama luar tidak serik menghasilkan koleksi kontroversi yang boleh mengundang kemarahan dan kritikan orang ramai.

Dua hari lalu, jenama fesyen terkemuka dunia, Zara telah memuat naik satu kempen yang dinamakan ‘The Jacket’ untuk memperlihatkan ‘ketahanan’ jaket terkini keluaran mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Gambar rakaman kempen itu memperlihatkan modelnya mengusung patung yang berbalut kain putih dan turut berdiri dalam kotak kayu. Rata-rata peminat Zara berkata jenama itu tidak sensitif dengan isu peperangan yang berlaku di Gaza dan ibarat menyindir cara pengebumian masyarakat Muslim di sana.

“Menggunakan kematian dan kemusnahan sebagai latar sesuatu rakaman fesyen adalah sesuatu yang jahat, bersifat subahat dan menyebabkan kemarahan terhadap pengguna. Boikot Zara,” tulis artis Palestin, Hazem Harb.

Nama Ketua Pereka Fesyen Zara, Vanessa Perilman juga dipetik kerana dia sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan Pro-Israel di media sosial.

“Mungkin sekiranya orang anda mempunyai pelajaran mereka tidak akan membedil hospital dan sekolah yang Israel bantu untuk bina (bayar) di Gaza,” komen Perilman di ruangan komen model Palestin, Qaher Harhash pada tahun 2021.

Zara setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang kontroversi ini. Setelah menerima ratusan ribu komen kritikan, Zara telah memadam hantaran tersebut tetapi mengekalkan beberapa gambar daripada kempen itu.

Walaupun berbuat demikian, laman media sosial Zara terutamanya Instagram terus dihujani komen daripada netizen.