Baru-baru ini, tular sebuah video dari negara jiran yang memperlihatkan suasana semasa dua bulan pascabanjir yang melanda sejumlah wilayah di Aceh.
Melalui video berkenaan, warga tempatan masih sedaya-upaya melakukan pembersihan lumpur yang tebal mengendap di dalam rumah masing-masing.
Dua bulan pascabanjir di Aceh menyaksikan satu pemandangan yang memilukan, longgokan lumpur ‘berbukit’ masih memenuhi ruang kediaman warga, seolah-olah waktu terhenti di saat bencana itu berlaku.
Ketiadaan bantuan menyeluruh memaksa penduduk bergantung sepenuhnya kepada kudrat sendiri dan semangat gotong-royong.
Rata-rata penduduk setempat pula terpaksa menggunakan cangkul untuk membersihkan isi lumpur yang memenuhi di dalam kediaman.
Sementara itu, mesin jengkaut pula digunakan untuk membersihkan atau mengalihkan lebihan lumpur di kawasan luar rumah mereka.
Tanpa sokongan aset yang mencukupi daripada pihak kerajaan, warga tempatan kini hanya bergantung kepada peralatan asas untuk memulihkan kediaman mereka.
Kehadiran aset bantuan daripada sukarelawan Malaysia di lokasi bencana telah mengundang pelbagai reaksi netizen. Di tengah-tengah pujian terhadap semangat persaudaraan serantau, timbul rasa terkilan terhadap kelembapan tindakan pihak berkuasa tempatan.
Kemarahan ini memuncak apabila netizen mula membandingkan nasib rakyat di Aceh dengan desas-desus hubungan diplomatik serta perdagangan peringkat atasan yang melibatkan ‘negara haram’.
Bagi mereka, adalah satu ironi besar apabila kebajikan rakyat sendiri terbiar ‘berbukit’ dengan lumpur, sementara perhatian pemimpin seolah-olah lebih tertumpu kepada agenda antarabangsa yang kontroversial.
Isu ini kini menjadi senjata netizen untuk mengingatkan pemimpin mereka: “Pulihkan rumah rakyat dahulu, sebelum sibuk menyantuni dunia luar”.