NVIDIA hari ini secara rasmi mengumumkan pelantikan semula Jensen Huang sebagai Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan tersebut dicapai menerusi undian sebulat suara oleh Lembaga Pengarah selepas mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan bersama beliau, petik kenyataan rasmi.

Menerusi sesi berkenaan, pihak lembaga berpuas hati dengan ketelusan serta keupayaan Jensen Huang untuk terus menerajui NVIDIA.

Dalam proses membuat keputusan tersebut, Lembaga Pengarah turut menerima input daripada pegawai peringkat tertinggi kerajaan Amerika Syarikat. Berdasarkan maklum balas berkenaan, pihak lembaga yakin bahawa pelantikan semula beliau tidak mendatangkan sebarang risiko terhadap keselamatan negara.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah NVIDIA, Harvey C. Jones, pihak lembaga percaya bahawa Jensen Huang merupakan individu paling tepat untuk mengemudi syarikat demi kepentingan pemegang saham, kakitangan, rakan kongsi dan pelanggan mereka.

Beliau yang akan terus kekal menyandang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah turut merakamkan penghargaan kepada Colette Kress atas khidmat cemerlangnya sepanjang memegang peranan sebagai CEO interim, di samping menggalas tanggungjawab hakikinya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) NVIDIA.

Sementara itu, Jensen Huang menyifatkan pelantikan semula tersebut sebagai satu penghormatan besar untuk kembali menerajui salah sebuah syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia pada permulaan era revolusi perindustrian baharu.

“Saya menggalas tanggungjawab ini dengan penuh rasa rendah diri dan komitmen yang diperbaharui. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah NVIDIA atas kepercayaan serta pertimbangan teliti sepanjang proses ini berlangsung,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada Harvey Jones, Colette Kress, barisan pengurusan eksekutif, kakitangan, pemegang saham, rakan industri global serta ahli keluarganya atas sokongan padu yang diberikan sebelum menyatakan keterujaannya untuk kembali bertugas.

Terdahulu, susulan laporan berhubung dakwaan bahawa Jensen Huang menjadi sasaran usaha perisikan asing, Lembaga Pengarah telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai sepenuhnya oleh pengarah bebas bersama peguam bebas bagi menjalankan siasatan. Pihak lembaga menegaskan siasatan tersebut akan diteruskan sehingga selesai dengan kerjasama penuh daripada beliau.

Selain itu, NVIDIA turut menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Kawalan Eksport bagi memantau pematuhan perdagangan serta risiko keselamatan negara, di samping memulakan proses pencarian bagi jawatan baharu, Ketua Pegawai Pematuhan (Chief Compliance Officer).

Syarikat itu juga memberi jaminan akan terus memberikan kerjasama terhadap sebarang siasatan kerajaan yang sedang berjalan.

Sumber