The Simpsons sering dikaitkan dengan kejadian yang berlaku di masa hadapan. Terbaharu, siri The Simpsons kali ini dikaitkan dengan pembuangan sisa nuklear Fukushima oleh kerajaan Jepun.

Video adegan itu sendiri telah dimuat naik di platform X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, oleh akaun @kegblgnunfaedh. Muat naik itu menunjukkan watak utama The Simpsons, Homer Simpson mengangkut sisa nuklear untuk dibuang ke Lake Springfield.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pengguna X yang melihat siaran itu mengulas dengan pelbagai respons. Ada yang mengatakan adegan yang dipotong itu sebenarnya adalah kebetulan. Bagaimanapun, sebahagiannya lagi kagum kerana siri kartun tersebut terus menerus dikaitkan dengan kejadian pada masa depan.

Menerusi laporan media antarabangsa, difahamkan bahawa adegan ini adalah sebahagian babak di dalam filem The Simpsons Movie, yang diterbitkan pada tahun 2007. Dalam filem itu, Homer Simpson membuang semua najis babi peliharaannya dalam sisa nuklear.

Dia tidak menyedari bahawa silo nuklear sebenarnya menyimpan radiasi. Apabila dibantah oleh isterinya, Marge, Homer akhirnya bersetuju untuk membuang sisa nuklear dan najis babi ke dalam tapak pelupusan khas.

Untuk rekod, Jepun mula membuang air dari Loji Tenaga Nuklear (PLTN) Fukushima ke Lautan Pasifik pada minggu lalu, lapor media antarabangsa. Ini bermakna kesan pelupusan sisa nuklear akan dirasai oleh banyak negara yang berada berhampiran Lautan Pasifik, termasuk Malaysia.

Sejak dua tahun lalu, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) telah meminta kelulusan untuk mula melupuskan air dari loji kuasa nuklear Fukushima Dai-Ichi, yang lumpuh akibat gempa bumi dan tsunami 2011.

Loji itu menghasilkan 100 meter padu air radioaktif setiap hari, untuk memastikan reaktor daripada mencair, dan tindakan TEPCO  untuk membuang air ini kelaut adalah kerana kehabisan ruang simpanan.

Tokyo menegaskan bahawa air sisa nuklear telah dirawat dan tidak mendatangkan bahaya kepada manusia atau hidupan marin, bagaimanapun China tidak bersetuju.

Cadangan untuk membuang sisa nuklear ke laut telah disokong oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), yang mengatakan kesan terhadap alam sekitar “boleh diabaikan”.