Kerajaan Indonesia didakwa melakukan ‘kecuaian nyata’ berhubung isu jerebu beracun akibat kebakaran hutan di Pulau Borneo dalam pendengaran kes mahkamah yang bermula pada Rabu, lapor AFP.

Tuntutan saman tindakan kelas (class action) itu difailkan bulan lalu di Mahkamah Negeri Pontianak, Wilayah Kalimantan Barat oleh empat plaintif, termasuk cawangan tempatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Orang Asal, AMAN. Mereka menamakan 10 defendan utama termasuk Presiden Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat.

Wilayah berkenaan terjejas teruk akibat kebakaran hutan dan asap tebal hingga memaksa penutupan sekolah serta menyebabkan ratusan penduduk menerima rawatan di hospital akibat masalah pernafasan.

Peguam bagi pihak plaintif, Glorio Sanen, menegaskan bahawa tindakan undang-undang tersebut merupakan langkah penting bagi menangani isu kebakaran hutan tahunan yang berpunca daripada kemusnahan hutan serta keburukan fenomena cuaca El Nino tahun ini.

Bagaimanapun, menurut laporan wartawan AFP yang berada di bilik sidang, tiada seorang pun defendan yang hadir pada pendengaran pertama itu.

“Kami berasa sedih dan kesal dengan ketiadaan mereka… Namun, di satu sisi lain, kami juga memahami bahawa keadaan jerebu ini mungkin menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak,” kata Glorio kepada pemberita selepas perbicaraan selesai.

Masalah jerebu itu turut menjejaskan penerbangan dengan ratusan jadual penerbangan dilaporkan terganggu akibat asap tebal dan berbau busuk.

Menerusi dokumen pemfailan mahkamah yang dilihat AFP, pihak plaintif menuduh kerajaan gagal menangani krisis berulang tersebut secara berkesan.

Sehubungan itu, mereka mendesak kerajaan mengisytiharkan krisis jerebu berkenaan sebagai bencana nasional bagi membolehkan langkah pemulihan dan rehabilitasi menyeluruh dijalankan, termasuk menanggung kos rawatan kesihatan penduduk yang terjejas.

Sebelum ini, saman serupa pernah difailkan di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan pada tahun lalu, namun tuntutan tersebut telah ditolak.

Kebakaran hutan di Indonesia telah berlarutan selama beberapa minggu, memusnahkan kawasan luas di Sumatera, Papua, dan Borneo, serta menyebarkan asap jerebu hingga merentasi sempadan negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.