Pada 22 Disember 2017, Juara Toyota Thai Premier League 2017, Buriram United telah melancarkan jualan jersi pasukan untuk musim 2018.
Bagi musim 2018, Buriram United akan menggunakan jersi ‘home’ berwarna biru gelap dan ‘away’ berwarna kuning dan jersi ketiga dikatakan akan dilancarkan kemudian.
27,572 Jersi Terjual Pada Harga 640 Baht (RM80) Sehelai
Seperti kebiasaan, harga jualan jersi Buriram United adalah 640 Baht atau kira kira RM80 sahaja, dan ini adalah harga mampu milik untuk majoriti penyokong.
Dari pengiraan kasar, berdasarkan jumlah jualan pada hari pertama semalam 27,572 helai dengan harga 640 Baht, Buriram United berjaya menjana sekitar 17,646,080 Baht atau kira-kira RM2.2 juta!
Jersi home terjual 11,398 helai, manakala jersi away berwarna kuning laku keras, dengan jumlah 16,174 helai, menjadikan jumlah keseluruhan jualan 27,572 helai.
Suasana Hari Pertama Jualan Jersi Buriram United
Suasana semasa hari pelancaran jersi Buriram United cukup meriah dengan penyokong bersemangat beratur panjang di Chang Arena menuggu giliran untuk membawa pulang jersi kebanggaan mereka.
Tiada isu atau sebarang kekecohan dapat dilihat, hanya wajah keriangan dan kepuasan berjaya memiliki jersi terbaru terpancar di wajah penyokong yang hadir.
Begitu juga dengan keadaan sesak didalam megastore Buriram United, tetapi ia masih lagi terkawal kerana pihak pengurusan telah bersedia untuk menangani kesesakan dan mengutamakan keselesaan.
Aktiviti Pada Hari Pelancaran Jersi Buriram United
Selain dari jualan jersi, pihak kelab juga telah mengadakan beberapa aktiviti untuk penyokong yang hadir ke Chang Arena.
Aktiviti-aktiviti ini adalah lebih tertumpu kepada tanggungjawab kelab untuk menghargai penonton sambil secara tidak langsung ‘mempelawa’ mereka untuk hadir ke stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan.
Sesi “Meet & Greet” Dan Autograf Bersama Pemain
Pihak kelab telah membawa beberapa pemain untuk menyertai acara pelancaran seterusnya mengadakan sesi bertemu peminat.
Pemilik Kelab Menyerahkan Jersi Kepada 10 Pembeli Terawal
Newin Chidchob memang terkenal dengan sikap yang mesra peminat Buriram United.
Dan kali ini, beliau dengan rendah diri menyerahkan 10 helai jersi terawal yang dibeli kepada peminat Buriram United yang bertuah. Ini secara langsung menjadikan peminat berasa teruja dan akan bertambah setia memberikan sokongan kepada pihak kelab.
‘Engagement’ Penyokong, Penaja dan Kelab
Selain itu juga, beberapa aktiviti lain turut diadakan melibatkan para pemain, penaja dan juga penyokong disekitar Chang Arena.
Pemain-pemain kelihatan mesra meraikan peminat yang datang dengan mengagihkan minuman dan makanan serta barangan lain untuk lebih merapatkan hubungan diantara mereka.
Jadi tidak hairanlah mengapa Buriram United setiap kali melancarkan jersi musim baru, penyokong tidak teragak-agak untuk membelinya kerana mereka berasa dihargai oleh pemilik, pemain dan semua yang terlibat dibawah nama Buriram United.