Ekspo Kerjaya ‘Bekasi Pasti Kerja’ di Pusat Konvensyen Universiti Presiden, Jababeka bertukar kecoh kelmarin. Ribuan pencari kerja berhimpit-himpit dalam acara itu sehingga menyebabkan ramai yang pengsan.

Suasana yang menjadi kacau-bilau ini telah berjaya dirakam oleh sejumlah individu yang berada di tempat kejadian dan menjadi tontonan awam di media sosial.

 

@rendiisyahh

#jobfair #jobfair2025 #kabupatenbekasi

♬ suara asli – Resdayshop – Resdayshop

@pioooocl

KONDISI TERKINI JOBFAIR BEKASI 2025 #jobfairbekasi #bekasi #fyp

♬ suara asli – Piooo🤫 – Piooo🤫

@cndyyagstnn

sbnyk ini yg nganggur?😭😭 #jobfairbekasi #jababekacikarang #pengangguran #cikarang #infoloker

♬ suara asli – ndyy – ndyy

Anda boleh lihat sendiri video-video yang tular di platform TikTok yang mana memperlihatkan keadaan anak muda berasak-asak di antara satu sama lain di kawasan terbuka dan ada yang sanggup panjat ke dalam banggunan menerusi tingkap.

Memetik laporan Sinar Harian, Program kerjaya anjuran kerajaan tempatan itu menarik lebih 25,000 pencari kerja, jauh melebihi kapasiti dewan dan bilangan jawatan kosong yang ada. Jabatan Tenaga Kerja Kabupaten Bekasi memaklumkan, hanya 2,557 kekosongan kerja ditawarkan oleh 64 syarikat yang mengambil bahagian.

Ramai peserta telah tiba sejak awal subuh, berharap menjadi antara yang terawal menghantar permohonan dan meningkatkan peluang mereka. Namun, jumlah kehadiran yang luar biasa itu menyebabkan keadaan menjadi terlalu sesak dan tidak terkawal sebaik sahaja pintu dibuka.

Situasi bertambah tegang apabila seorang penganjur cuba menampal risalah mengandungi kod QR untuk senarai jawatan kosong, tetapi risalah itu terus dirampas oleh seorang peserta sebelum sempat ditampal sepenuhnya.

Tindakan itu serta-merta mencetuskan kekecohan apabila pengunjung lain mula menolak dan berebut-rebut antara satu sama lain.

Dalam kekecohan itu, ada juga pergaduhan fizikal dan ramai peserta pengsan kerana sukar bernafas serta keletihan.

Petugas kesihatan yang sudah bersiap sedia di lokasi segera memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang terjejas.

Bupati Bekasi, Ade Kuswara Kunang, mengakui bahawa situasi tersebut adalah cabaran besar bagi pihak penganjur dan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Kami hanya buka lebih 2,000 peluang kerja, tetapi yang datang lebih 25,000. Ini bukan prestasi, tapi beban moral yang perlu kami tangani,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa daripada kira-kira 7,000 syarikat yang beroperasi di kawasan industri Bekasi, hanya sebahagian kecil yang mengambil bahagian dalam ekspo kali ini.

Sistem penyampaian maklumat turut dipersoalkan apabila risalah kod QR hanya diedarkan secara fizikal dan ditampal di lokasi, menyebabkan orang ramai berebut mendapatkannya.

Ramai peserta dilaporkan mengalami tekanan emosi akibat harapan tinggi yang tidak kesampaian, ditambah dengan keletihan menunggu, beratur dan berhimpit dalam keadaan panas serta sesak.

Bupati Bekasi berjanji akan menambah baik penganjuran pada masa akan datang termasuk menambah bilangan kekosongan, memperluaskan penyertaan syarikat dan memastikan penyampaian maklumat yang lebih tersusun dan selamat kepada semua pencari kerja.