Dalam dunia bola sepak, penalti bukan sekadar sepakan dari titik kecil.

Ia adalah perang saraf. Dan jika kita bercakap tentang perang saraf, Andrea Pirlo adalah “The Architect” yang memilki kekejaman yang disembunyikan di sebalik wajah baik dan pendiam.

Mari kita imbas kembali Euro 2012. Suku akhir antara Itali menentang England.

Situasinya tegang, di mana Itali sedang ketinggalan 2-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas Riccardo Montolivo gagal menyempurnakan tugasnya.

Di itulah, Joe Hart berdiri dengan penuh keyakinan—melompat-lompat, mendepa tangan, dan melakukan segala macam “psy-war” untuk mengganggu fokus pemain Itali.

Hart terbuai buai dengan propaganda ‘It’s really coming home!’

Lalu, datanglah Andrea Pirlo. Tenang. Rambutnya rapi seolah baru keluar dari salon di Milan.

Bagi kebanyakan pemain, dalam tekanan sebegitu, mereka akan memilih untuk merembat sekuat hati atau mencari bucu gawang. Tapi tidak untuk Pirlo.

Dia melakukan sesuatu yang di luar jangkaan: Panenka.

Bola dicungkil lembut ke tengah gawang, sementara Joe Hart sudah pun melayang ke arah kiri, terpedaya sepenuhnya oleh ketenangan melampau maestro Juventus itu.

Kenapa Pirlo melakukannya? Adakah dia mahu menunjuk-nunjuk?

Dalam autobiografinya, “I Think Therefore I Play”, Pirlo mendedahkan bahawa keputusan itu dibuat pada saat akhir. Bukan dirancang dari bilik persalinan.

Pirlo ada berpuluh jenis teknik sepakan atau mungkin ratus kalau disusun ikut variasi dalam inventorinya yang sedia diaktifkan sesuai keadaan.

Sebab itu Pirlo istimewa. Dia tak pernah merancang dan menentukan sepakan penalti dia ke arah mana atau gaya mana dia nak buat esok.

Kemudian berlatih di padang latihan dengan bantuan analisis penjaga gol lawan. Tidak!

Sebab dia pakar. Dia boleh tekan mana mana skil dia nak pada hari kejadian.

Pirlo pernah kata yang kalau pemain itu sekadar nak fikir fancy untuk buat panenka, itu sekadar untuk diri sendiri, mahu mengejar tajuk utama akhbar.

Pirlo pula melakukan panenka untuk membunuh lawannya dengan teknik yang kejam. Pada masa yang sama dia juga melihat keadaan penjaga gol lawan.

Pirlo: ‘Saya putuskan buat panenka pada saat akhir’

Pirlo berkata: “Saya melihat Joe Hart melakukan pelbagai aksi di atas garisan golnya. Sebaik saya memulakan larian, saya masih belum memutuskan apa yang mahu dilakukan.

“Kemudian dia bergerak, dan otak saya terus membuat keputusan,” jelas Pirlo.

Bagi Pirlo, itu bukan “showboating” atau gaya berlebihan. Itu adalah pilihan paling logik untuk meningkatkan peluang gol sehingga 100%.

Impak Taktikal & Psikologi

Secara taktikal, Joe Hart adalah penjaga gol yang sangat reaktif dan dia berada di prestasi terbaiknya.

Dia bergantung kepada momentum dan gerak geri lawan. Pirlo membaca perkara itu sejak awal.

Dengan melakukan Panenka, Pirlo sebenarnya menghantar mesej jelas bahawa ketika Hart sibuk melompat, Pirlo sedang bermain catur di kepalanya.

Kesan daripada gol itu amat besar. Moral pemain England terus merudum. Selepas cungkilan itu, Ashley Young dan Ashley Cole gagal dalam sepakan mereka. England tersingkir.

Itulah keindahan Andrea Pirlo. Dia tidak memerlukan larian kencang atau rembatan padu untuk memenangi perlawanan.

Dia hanya memerlukan ketenangan dan sedikit “sentuhan magis” untuk membuatkan penjaga gol terbaik Liga Perdana Inggeris kelihatan seperti amatur di pentas besar.

Maka lenyaplah impian England pada hari itu. Misi untuk membawa pulang bola sepak diteruskan lagi.

Satu pengajaran buat penjaga gol: Jangan terlalu banyak “berjoget” di atas garisan jika yang datang melangkah itu adalah seorang maestro bernama Pirlo.

Pirlo jelas sekali pemain yang ada hati kering. Pemain segarang Rooney pun tak berani nak buat panenka dalam keadaan tersebut.