Karnival Jom Heboh (KJH), acara padang yang paling ikonik di Malaysia, kini kembali untuk membuka tirai jelajah tahun 2026.

Buat julung kalinya, penganjuran kali ini membawakan satu kelainan yang luar biasa menerusi kolaborasi strategik bersama Karnival Mega JPJ Madani.

Bertempat di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, acara berskala besar ini bakal berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 24 hingga 26 April 2026 (Jumaat hingga Ahad).

Gabungan elemen hiburan dan perkhidmatan komuniti ini pastinya memberikan satu pengalaman karnival yang cukup berprestij dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

Kemuncak Acara: Gandingan Epik Dato’ Sri Siti Nurhaliza & Dato’ Awie
Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026: Siti Nurhaliza & Awie Bakal 'Gegar' Pulau Pinang!
Sumber Gambar: Karnival Jom Heboh

Perkara yang paling dinanti-nantikan oleh para pengunjung semestinya Konsert Jom Heboh yang bakal berlangsung selama dua malam berturut-turut.

Berita gembira buat para peminat seni suara tanah air, pentas malam Sabtu (25 April 2026) bakal dihangatkan dengan penampilan istimewa penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza serta lagenda rock pujaan ramai, Dato’ Awie.

Gandingan dua nama besar industri muzik ini dijangka memukau ribuan pengunjung dengan persembahan vokal dan tenaga yang sangat luar biasa.

Kemeriahan pada malam tersebut akan turut diserikan oleh barisan artis popular lain seperti Shiha Zikir, Kristal X, dan Wani Kayrie.

Manakala pada malam Ahad, pentas akan diambil alih oleh Nadeera, Ara Johari, Hael Husaini, Mariam OIAM, K.O.I, dan Floor 88.

Sambutan Ulang Tahun JPJ Ke-80 & Perkhidmatan Komuniti
Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026: Siti Nurhaliza & Awie Bakal 'Gegar' Pulau Pinang!
Sumber Gambar: Karnival Jom Heboh

Kolaborasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun JPJ ke-80.

Lebih membanggakan, majlis pelancaran sambutan ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari Sabtu, 25 April.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook.

Pelbagai inisiatif dan kemudahan khusus untuk rakyat telah disediakan oleh pihak JPJ.

Antara yang paling menarik perhatian adalah inisiatif kebajikan seperti pertukaran topi keledar percuma dan servis minyak hitam motosikal secara percuma.

Bagi peminat nombor pendaftaran kenderaan yang eksklusif, jualan nombor pendaftaran turut dibuka kepada pengunjung.

Pelbagai Tarikan Menarik Untuk Seisi Keluarga
Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026: Siti Nurhaliza & Awie Bakal 'Gegar' Pulau Pinang!
Sumber Gambar: Karnival Jom Heboh

Selain konsert dan perkhidmatan JPJ, karnival ini padat dengan lebih 150 reruai yang menawarkan pelbagai promosi eksklusif.

Antara tarikan utama yang wajib anda kunjungi termasuklah:

Love Food Fest: Pesta makanan yang menghimpunkan pelbagai vendor makanan tular dan tempatan, menjanjikan kepuasan gastronomi buat para pengunjung.

Pihak penganjur juga bermurah hati mengadakan agihan 12,000 pek nasi kari secara percuma.

Rumah Hantu Jom Heboh X Pewaris Susuk: Buat pengunjung yang berani, alami sendiri pengalaman seram yang diinspirasikan daripada filem Pewaris Susuk, di mana anda turut berpeluang mengikuti sesi ramah mesra bersama pelakon utama, Rosyam Nor dan Alya Iman.

Aktiviti Kanak-Kanak & Keluarga: Terdapat pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti Explorace Ejen Ali (beserta sambutan ulang tahun ke-10 animasi tersebut), serta reruai Dunia Kreatif NSTP yang menawarkan ruang interaktif seperti Stesen Seni, Kraf & Origami dan Pertandingan ‘Wartawan Cilik’.

Aktiviti Kesihatan & Riadah: Sertai acara JPJ Fun Run, Zumba Challenge, dan Pound Stick Fitness. Pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma turut disediakan.

Battle of the Band: Enam band terpilih dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan berentap pada malam Jumaat, 24 April, dengan persembahan bertenaga yang menjanjikan hiburan kepada para pengunjung.

Jom Cantik & Kempen Kitar Semula: Sesi yang memperkasa keyakinan wanita ini diadakan setiap hari, di samping inisiatif kelestarian alam yang memberikan lencana eksklusif buat pengunjung yang membawa botol air plastik terpakai untuk dikitar semula.

Jangan lepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai dan memeriahkan suasana Karnival Jom Heboh x Mega JPJ Madani 2026 di Stadium Negeri Batu Kawan.

Anda juga dijemput untuk berkongsi setiap detik menarik di platform media sosial menggunakan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu, #KarnivalJomHeboh, dan #KJH2026.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di www.jomheboh.com.my.