Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat percaya rakan sepasukannya iaitu Feroz Baharudin mampu untuk mengisi tempatnya sebagai kapten pada masa hadapan.

Jordi berkata demikian selepas aksi final Piala Malaysia 2023 yang mana JDT berjaya menewaskan Terengganu dengan keputusan 3-1 dimana dalam perlawanan tersebut, Feroz turut menjaringkan satu gol.

Baca Juga:

Ketika ditanya mengenai prestasi pemain berusia 23 tahun itu, Jordi Amat percaya Feroz Baharudin mampu untuk tampil sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik dalam negara pada masa akan datang.

“Dia (Feroz) merupakan pemain yang cukup baik. Akan tetapi dalam perlawanan ini dia perlu bermula di bangku simpanan. Ketika masuk, dia tampil dengan cukup baik.

“Saya beritahu Feroz, dia seorang pemain muda yang cukup berbakat. Karier dia akan menjadi sangat baik. Dia cuma perlu meneruskan apa yang dia lakukan ketika ini.

“Feroz juga seorang rakan yang baik. Dia sentiasa mendengar. Dia mampu untuk menjadi kapten seterusnya bagi kelab ini. Feroz mempunyai karakter. Kami di JDT gembiran dengan apa yang ditampilkan olehnya setakat ini,” kata Jordi.

Feroz dimasukkn pada separuh masa kedua bagi menggantikan Shane Lowry yang mengalami kecederaan pangkal paha. Beliau kemudiannya menjaringkan gol kedua pasukan menerusi tandukan hasil daripada sepakan penjuru.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua lagi jaringan dari Bergson dan Arif Aiman memastikan JDT mempertahankan kejuaraan selain memenangi trofi keempat musim ini.

Sebelum ini, JDT memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dengan menewaskan Kuala Lumpur City dengan keputusan 2-0, Liga Super dan sekarang Piala Malaysia.