Semalam tular berita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita sebuah Lamborghini yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara China.
Pada awalnya media melaporkan kereta mewah itu disita. Bagaimanapun media mengemaskini selepas pihak JPJ menperjelaskan bahawa kereta tersebut tidak disita, sebaliknya pemandu warga China itu dikenakan saman.
Baca Juga:
- ‘Tak Sita Lamborghini Warga China, Cuma Saman Pemandu Sahaja’ – JPJ
- Tak Ada Lesen Sah, JPJ Sita Lamborghini Milik ‘Content Creator’ Warga Asing
Perkara itu membuatkan ramai netizen tertanya-tanya.

Sehubungan itu, JPJ memberikan penjelasan menerusi Harian Metro mengapa keputusan itu dibuat.
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Hamidi Adam, lelaki tersebut mendakwa mempunyai lesen memandu antarabangsa. Namun gagal menunjukkan dokumen berkenaan kepada pihaknya.
JPJ tak boleh buat semakan dalam sistem
Dalam masa sama pihaknya tidak dapat membuat semakan dalam sistem kerana lesen berkenaan dikeluarkan oleh negara luar.
“Lelaki itu memang tidak ditahan tetapi dikenakan saman kerana gagal menunjukkan lesen memandu ketika diperiksa.
“Kenderaan mewah itu juga tidak disita dan ia bukan milik lelaki warga China berkenaan sebaliknya milik rakannya.
“Kenderaan itu sudah diserahkan kepada mereka selepas seorang lagi rakan lelaki itu yang juga warga tempatan hadir ke lokasi dengan lesen memandu sebagai pemandu kedua untuk melepaskan kenderaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya lagi, saman boleh dikeluarkan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mana-mana orang yang melanggar subsekyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.
Dalam laporan lain, pemilik kereta mewah turut disaman atas kesalahan membenarkan pemandu yang tidak memiliki lesen yang sah menggunakan kenderaan berkenaan.