Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, memandu sendiri ke Thailand terutama ke destinasi popular seperti Hat Yai sudah menjadi satu aktiviti hujung minggu yang biasa.
Namun, sebelum anda menekan pedal minyak merentasi sempadan negara, ada satu pesanan penting daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang perlu anda ambil peduli.
Lesen Digital Belum Mencukupi Di Luar Negara
Memetik laporan Buletin TV3,Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah tampil memberikan peringatan mesra kepada semua pemandu Malaysia.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan lesen memandu fizikal di kaunter JPJ dengan bayaran serendah RM20 sebelum memulakan perjalanan ke negara jiran.
“JPJ memang ada mengeluarkan lesen fizikal dengan bayaran RM20 sahaja. Untuk pemanduan dalam negara sudah memadai lesen digital, namun untuk ke Thailand memerlukan lesen fizikal,” jelas beliau ringkas.
Langkah ini bukanlah untuk menyusahkan kelancaran percutian anda, sebaliknya ia adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan rakyat kita daripada dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa di Thailand yang masih belum menerima pakai sistem digital sepenuhnya.
Tragedi Disaman 1,000 Baht Di Hat Yai
Nasihat yang dikeluarkan ini berbangkit susulan satu insiden yang dilaporkan media baru-baru ini. Seorang pemandu wanita dari Malaysia telah ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Hat Yai.
Ketika pemeriksaan dilakukan, wanita tersebut telah menunjukkan lesen memandu digitalnya melalui aplikasi MyJPJ.
Malangnya, pegawai polis Thailand yang bertugas memaklumkan bahawa mereka hanya mengiktiraf lesen memandu Malaysia dalam bentuk kad fizikal, ataupun Permit Memandu Antarabangsa (IDP) bagi warga asing.
Akibat ketiadaan dokumen tersebut, pemandu wanita itu terpaksa membayar saman sebanyak 1,000 baht.
Mengulas lanjut mengenai isu ini selepas menghadiri Program Kucha Sugho Queen Ekspress, Mohd Misuari menjelaskan bahawa undang-undang negara luar harus sentiasa dihormati.
“Berhubung rakyat Malaysia yang dikenakan saman oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini berikutan gagal mengemukakan lesen fizikal, itu adalah bidang kuasa pihak berkuasa di negara berkenaan.
Bagi mengelak tindakan itu berulang, kita menasihatkan orang ramai yang mahu ke negara jiran supaya membawa lesen fizikal,” kata beliau.
Pilihan Alternatif Buat Kaki Melancong
Selain mendapatkan kad lesen fizikal yang biasa, pemandu Malaysia sebenarnya mempunyai pilihan lain yang lebih rasmi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Selain lesen fizikal, mereka yang mahu ke luar negara juga boleh berkunjung ke mana-mana kaunter JPJ untuk mendapatkan Permit Memandu Antarabangsa (IDP),” saran Mohd Misuari kepada orang ramai.
Walaupun pihak JPJ sebelum ini pernah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan pihak berkuasa di Narathiwat berhubung penggunaan lesen digital aplikasi MyJPJ, pelaksanaan undang-undang sedia ada di negara gajah putih tersebut masih kekal.
Oleh itu, buat anda yang sedang merancang percutian seterusnya, peruntukkan sedikit masa untuk singgah di kaunter JPJ terdekat. Dapatkan sekeping kad fizikal dengan nilai RM20, dan pandulah dengan tenang di bumi Thailand tanpa sebarang kerisauan.