Kereta mewah jenama Porsche milik seorang pelakon, usahawan wanita disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Luxury.

Memetik Harian Metro, kereta itu disita selepas didapati melakukan kesalahan cukai jalan dan insurans tamat tempoh.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi bersepadu bermula sejak awal bulan ini dilakukan hasil aduan awam dan risikan berhubung pemilikan serta penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya.

JPJ sita 101 kenderaan mewah
'Isyarat Jelas Kami Tidak Berkompromi Dengan Individu Ternama' – JPJ Sita Porsche Milik Pelakon Wanita
Sumber Gambar: Buletin TV3

Kereta mewah milik selebriti itu merupakan salah satu daripada 101 kenderaan mewah yang disita dari di seluruh negara.

“Bertindak atas risikan, pasukan menjalankan siasatan dan mengesan kenderaan yang terbabit untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 101 kenderaan terdiri daripada Ferrari, Rolls Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes Benz disita atas pelbagai kesalahan.

“Kesemua kenderaan terbabit didapati melakukan kesalahan tamat cukai jalan dan tiada perlindungan insurans sah, selain kesalahan lesen memandu tamat tempoh, mempamerkan nombor kenderaan lain, nombor casis tidak sepadan serta menggunakan nombor pendaftaran trade,” katanya dalam sidang media di JPJ Kuala Lumpur di sini, hari ini.

'Isyarat Jelas Kami Tidak Berkompromi Dengan Individu Ternama' – JPJ Sita Porsche Milik Pelakon Wanita
Sumber Gambar: Buletin TV3

Tambahnya, kes tertinggi dikesan di Kuala Lumpur dan Selangor dengan masing-masing 17 kenderaan disita diikuti Pulau Pinang (14); Perak (11); Johor (10) dan Kedah (9).

Sementara lima di Pahang, Melaka (5), Negeri Sembilan (4); Kelantan (3); Terengganu (2); Sabah (2); Sarawak (1) serta Perlis (1).

Semua kenderaan itu kini disita di Depoh Simpanan JPJ untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan lain yang berkaitan.

Memetik laporan itu lagi, Datuk Aedy Fadly menyatakan rampasan yang dibuat memberi isyarat jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk orang kenamaan dan selebriti yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.