Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Mohamed Nazari Noordin menyatakan permintaan terhadap kenderaan baharu menunjukkan sedikit penurunan.
Menurut beliau, trend penurunan itu mula dikesan selepas sambutan Aidilfitri. Penurunan tersebut turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik semasa, petik Harian Metro.
“Kebanyakan orang ramai mengambil sikap lihat terlebih dahulu dan mengambil langkah berhati-hati dalam membuat pembelian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Gema Syawal PEKEMA di Wisma Yayasan PEKEMA, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pengguna kini lebih berhati-hati dalam berbelanja. Mereka lebih mengutamakan keperluan harian, berbanding menambah komitmen besar seperti pembelian kenderaan atau hartanah.
Namun beliau menjelaskan harga kenderaan masih kekal stabil buat masa ini. Ini kerana kebanyakan kenderaan yang diimport PEKEMA berasal dari Jepun dengan kadar pertukaran mata wang yang masih berpatutan berbanding Ringgit.
Dalam masa sama, beliau menjangkakan permintaan kekal mendatar berbanding tahun lalu, serta kemungkinan penurunan kecil sekiranya keadaan global terus tidak stabil.