Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan melaksanakan dasar baharu berkuat kuasa 1 November ini bagi memperkemas urusan penjualan tiket bas ekspres di semua terminal berlesen di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan sistem penjualan tiket dan pengurusan terminal beroperasi secara lebih teratur, telus, serta memudahkan pemantauan aktiviti penjualan tiket secara menyeluruh, petik Buletin TV3.

Menurut beliau, dasar tersebut turut memberi tumpuan kepada kawal selia terhadap ejen penjualan tiket dalam talian (OTA) yang sebelum ini meraih komisen jualan tanpa menyumbang kepada perkhidmatan pengurusan terminal.

Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa pelaksanaan dasar ini tidak akan membebankan pengusaha dan pengendali bas ekspres melalui sebarang kenaikan caj terminal.

“Langkah ini tidak bertujuan membebankan pengendali bas dan caj terminal juga tidak sepatutnya melebihi kadar sedia ada, malah kita berharap ia dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui pada Transport Expo Asia 2026, baru-baru ini.

Pelaksanaan dasar baharu ini dijangka memperkukuh tadbir urus industri pengangkutan awam darat, sekali gus menawarkan proses pembelian tiket yang lebih telus, adil, dan cekap demi keselesaan para pengguna.

Sumber