Kelibat Juan Roman Riquelme ketika beraksi pasti akan membuatkan para peminat terpukau melihat seni bola sepak yang dimainkannya.

Namanya mungkin tidak terlalu gah seperti Zinedine Zidane, Andres Iniesta mahupun Xavi Hernandez tetapi Riquelme mempunyai aura tersendiri dalam mengemudi jentera tengah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Riquelme memiliki ketenangan yang luar biasa dalam mengelecek lawan serta begitu sukar digugat ketika sedang mengawal bola.

Malah, teknik hantaran dan sepakan yang menjadi senjata buatnya ketika beraksi menjadikan Riquelme sebagai antara bintang dengan peranan nombor 10 klasik pada zamannya.

Lahir sehari sebelum kejayaan skuad kebangsaan Argentina menjuarai saingan Piala Dunia 1978 di laman sendiri, Riquelme merupakan anak sulung daripada 11 orang adik beradik.

Pembabitan awal Juan Roman Riquelme

Anak kelahiran San Fernando, Buenos Aires ini diserapkan ke Akademi Argentinos Junior pada tahun 1992 selepas berjaya melepasi sesi pemilihan.

Ketika bersama kelab tersebut, bakat Riquelme turut dipantau oleh dua kelab gergasi Argentina iaitu Boca Juniors dan River Plate.

Oleh kerana beliau merupakan peminat setia Boca Juniors, Riquelme akhirnya menyertai skuad bawah 20 tahun kelab tersebut pada tahun 1996.

Beliau kemudiannya membuat penampilan sulung bersama skuad senior Boca Juniors pada usia 18 tahun ketika pertemuan menentang Club Atletico Union Santa Fe.

Lebih manis untuk diperkatakan, berselang dua minggu kemudian Riquelme berjaya menjaringkan gol pertama dalam membantu pasukannya menewaskan Hurracan dengan keputusan 6-0.

Pada 25 Oktober 1997, Riquelme diberikan penghormatan untuk menggantikan mendiang Diego Maradona pada aksi Superclasico menentang River Plate di minit ke-45 yang menyaksikan Boca Juniors bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 hasil jaringan Julio Cesar Toresani dan Martin Palermo.

Beraksi cemerlang di Malaysia

Aksi menarik ditampilkan di peringkat domestik memberikan peluang buat Riquelme untuk menyarung jersi Argentina bagi menghadapi Piala Dunia Belia 1997 di Malaysia.

Antara rakan sepasukan beliau pada ketika itu ialah Lionel Scaloni, pengurus skuad kebangsaan Argentina yang menjuarai Piala Dunia tempoh hari bersama-sama Pablo Aimar, Esteban Cambiasso dan Walter Samuel.

Saingan kumpulan bermain di Stadium Tuanku Syed Putra (dahulu dikenali Stadium Utama Kangar), Argentina menang dua perlawanan awal bertemu Hungary 3-0 dan Kanada 2-1 tetapi tumpas aksi terakhir menentang Australia 3-4.

Riquelme beraksi dengan cemerlang apabila berupaya menjaringkan masing-masing satu gol pada ketiga-tiga perlawanan.

Memasuki pusingan 16, Argentina bertandang ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin untuk bertemu England yang dibarisi Micheal Owen, Jamie Carragher, Danny Murphy dan Jody Morris.

Pada perlawanan tersebut, Riquelme berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10 untuk meletakkan Argentina dihadapan dan kemudiannya Aimar menambah kedudukan.

Jaringan Carragher pada minit ke-49 masih belum mampu untuk menghalang Argentina yang ketika itu dibimbing Jose Pekerman untuk mara ke suku akhir.

Argentina kemudiannya menang 2-0 ke atas musuh tradisi, Brazil dan kecemerlangan itu diteruskan dengan menundukkan Republik Ireland 1-0 untuk ke final berdepan Uruguay.

Ketinggalan pada minit ke-15, Argentina kemudiannya bangkit untuk meraih kemenangan 2-1 sekali gus menjulang trofi tersebut di Stadium Shah Alam.

Sepanjang tujuh perlawanan dilalui, Juan Roman Riquelme berjaya menjaringkan empat gol dan mencipta enam bantuan jaringan. Satu statistik yang jelas melonjak namanya.

Berjaya tarik minat Barcelona

Selepas menikmati tujuh musim yang memberangsangkan di La Bombonera hingga membantu Boca Juniors memenangi enam kejuaraan termasuk Liga Apertura dan Copa Libertadores.

Selain itu, beliau telah membuat penampilan hampir 200 permainan dan menjaringkan 44 gol dan begitu banyak bantuan jaringan dihasilkannya.

Beliau juga telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Argentina bagi dua musim berturut-turut (2000 dan 2001).

Keadaan itu membuatkan Barcelona yang dibimbing Louis Van Gaal tertarik untuk mendapatkan khidmat Riquelme pada 2002 dengan yuran perpindahan bernilai £10 juta.

Karier beliau di Nou Camp bagaimanapun tidak berjalan dengan lancar kerana Riquelme bukan sahaja jarang diberikan peluang beraksi tetapi Van Gaal lebih gemar meletakkan Riquelme di posisi sayap.

Satu keadaan yang membuatkan beliau sukar untuk mendapatkan rentak terbaik pernah dimilikinya. Selepas itu, Barcelona membawa masuk Ronaldinho dan Riquelme terus kehilangan tempat lalu dipinjamkan dua musim ke Villarreal.

Villarreal beri peluang bukti kemampuan

Riquelme memberikan impak positif setelah menerima keputusan kelab untuk menghantarnya ke skuad Yellow Submarine itu terutamanya pada musim kedua.

Hal ini kerana beliau membantu kelab tersebut menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga yang mana merupakan pencapaian terbaik kelab dalam saingan La Liga.

Pemain tengah itu turut menjaringkan 15 gol dalam 35 penampilan dan dicalonkan untuk Pemain Terbaik Tahunan FIFA.

Susulan aksi menarik dipamerkannya, Villarreal menandatangani kontrak Riquelme secara tetap selama empat tahun.

Musim ketiganya bersama pasukan menyaksikan Villarreal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2005/06 untuk bertemu Arsenal.

Namun, Riquelme terlepas peluang untuk mengheret aksi ke masa tambahan selepas sepakan penalti yang diambil pada minit ke-90 diselamatkan penjaga gol Arsenal, Jens Lehman untuk membawa The Gunners ke perlawanan akhir.

Kembali ke Boca Juniors

Selepas Piala Dunia 2006 yang merupakan edisi pertama dan terakhir buatnya, Riquelme memperlihatkan penurunan prestasi.

Malah, terdapat pertelagahan dengan kakitangan kejurulatihan yang mengadu bahawa Riquelme mempunyai terlalu banyak keistimewaan dalam kelab tersebut.

Permasalahan tersebut menyaksikan beliau dipinjamkan ke Boca Juniors selama lima bulan hanya untuk beraksi dalam Copa Libertadores.

Beliau berjaya menjaringkan lapan gol dalam pertandingan tersebut termasuklah tiga gol yang dihasilkannya pada perlawanan akhir timbal balik itu.

Membantu kejuaraan Copa Libertadores buat kali keenam itu membolehkan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

Musim 2007/08 menyaksikan Boca Juniors menawarkan $15 juta kepada Villarreal untuk membawa pulang pemain kesayangan tersebut sehingga menjadikannya sebagai perpindahan termahal kelab.

Beliau yang digelar El Torero menikmati tujuh musim bersama Boca Juniors hingga membantu kelab tersebut menambah dua lagi kejuaraan Apertura pada 2008 dan 2011.

Kekalahan 1-3 pada aksi final Copa Libertadores 2012 membuatkan Riquelme mengambil keputusan untuk bersara daripada kancah profesional. Tetapi, beliau kembali semula ke pangkuan pasukan bagi menghadapi musim 2013/14.

Beliau kemudiannya berhijrah ke Argentinos Juniors pada 2014 sebelum mengumumkan persaraan selepas semusim.

Terlalu banyak konflik ketika bersama skuad kebangsaan

Begitu banyak konflik melibatkan Riquelme sekiranya ingin bercakap tentang skuad kebangsaan Argentina.

Selepas beraksi dengan baik pada Piala Dunia 2006 di Jerman, beliau mengumumkan persaraan ketika usianya hanya mencecah 28 tahun atas alasan mahu memberikan fokus kepada ibunya yang sedang sakit.

Beliau kembali setahun kemudian untuk membantu Argentina melayakkan diri ke perlawanan akhir Copa America 2007.

Namun, pada 2009 beliau sekali lagi mengumumkan persaraan kerana permasalahannya bersama pengurus pada ketika itu, mendiang Maradona dan turut menyalahkan legenda tersebut menyebabkannya mengambil keputusan untuk bersara.

Bagaimanapun masih terdapat memori indah buat Riquelme ketika bersama skuad kebangsaan apabila beliau memimpin skuad Sukan Olimpik 2008 di Beijing muncul pemenang pingat emas selepas menewaskan Nigeria di perlawanan akhir.

Kini bergelar Presiden Boca Juniors

Juan Roman Riquelme baharu sahaja diumumkan sebagai Presiden Boca Juniors beberapa hari lalu.

Menurut sumber ESPN, undian yang dijalankan pada Ahad lalu menyaksikan 43,637 undian diletakkan di Bombonera bererti ia sebagai rekod baharu untuk kelab Argentina dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 46%.

Riquelme yang berkempen bersama bekas presiden, Jorge Amor Ameal berjaya mendapat 64.4% undi berbanding pesaingnya, Andres Ibarra dengan 35.3% undi selepas kurang separuh undi telah dikira.

Riquelme sebelum ini telah berkhidmat sebagai naib presiden kepada Ameal untuk tempoh sepenggal [empat tahun].

Sumber