Seperti ramai sedia maklum, jumlah warga asing dalam negara dilaporkan semakin meningkat. Hal ini sekaligus, golongan warga asing ini berpeluang merebut peluang mencari rezeki serta meraih sebahagian daripada fasiliti dalam negara.

Dalam pada itu, di sebalik kemudahan fasiliti kesihatan yang tersedia dalam negara, pihak warga asing sepatutnya perlu membayar jumlah bayaran penuh tanpa subsidi sekiranya mendapatkan perubatan di klinik atau hospital kerajaan.

Walau bagaimanapun, sikap segelintir warga asing khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang gagal membayar kos perubatan yang didapatkan sekaligus telah memberi beban buat negara.

Terbaharu, menurut laporan yang dikongsikan KKM kepada Berita Harian, jumlah tunggakan bil perubatan daripada golongan warga asing kini sudah mencecah RM100 juta.

Ini termasuk kos bagi rawatan bersalin, kecemasan, pemeriksaan pesakit luar serta pengambilan ubat, sama seperti yang dinikmati rakyat tempatan yang lain.

Mengulas mengenai pembayaran, terdapat segelintir warga asing yang terus ‘lesap’ selepas mendapatkan rawatan sehingga Kementerian Kesihatan (KKM) berputih mata apabila perlu menanggung kerugian, termasuk terpaksa melupus hutang angkara sikap warga asing terbabit.

Sementara itu, beberapa kakitangan hospital kerajaan yang ditemui Berita Harian mengakui isu warga asing culas membayar tunggakan bil rawatan berlaku di semua hospital dan fasiliti di bawah KKM.

Mereka memaklumkan, isu berkenaan sudah lama berlaku dan sampai sekarang, tiada penyelesaian tuntas diambil pihak hospital khususnya KKM.

Difahamkan, sikap mudah simpati dan terlalu bertoleransi pentadbir hospital antara punca segelintir warga asing dilihat begitu senang mengambil kesempatan.

Ia diburukkan lagi dengan dakwaan terdapat kelompongan sistem rekod serta pengesanan pesakit warga asing di hospital kerajaaan, membuatkan warga asing dilihat mudah melepaskan diri daripada membayar tunggakan bil perubatan.

Sumber