Minggu lalu, Polis Diraja Malaysia merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di sini, dipercayai berkaitan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam sidang media yang dijalankan sebentar tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan jumlah wang yang terkandung dalam 35 beg yang dirampas dari sebuah kediaman di Pavillion Residences adalah bernilah RM114 juta.
Jumlah ini melibatkan 26 mata wang dari seluruh dunia dan dinilai mengukut kadar tukaran wang semasa. Manakala barang kemas dan jam tangan yang terkandung dalam baki 37 lain akan dinilai dan diumumkan minggu hadapan.
Dalam sidang media berkenaan juga, Datuk Seri Amar menegaskan segala gambar jam tangan, beg dan barangan kemas yang tular di media sosial adalah palsu. Ketika operasi dijalankan, tiada pegawai polis yang dibenarkan membawa masuk telefon bimbit.
Datuk Seri Amar menegaskan orang ramai agar tidak kongsikan lagi gambar-gambar ini kerana ianya boleh menggangu siasatan yang sedang dijalankan.