Bayangkan ketika anda sedang mengemas rumah, anda tiba-tiba menjumpai sekeping salinan resit simpanan tetap bernilai RM1 juta yang pernah anda depositkan dua dekad lalu.

Namun, kegembiraan itu bertukar menjadi mimpi buruk apabila pihak bank memaklumkan bahawa tiada sebarang rekod mengenai wang berkenaan dalam sistem mereka.

Situasi mencemaskan ini menimpa seorang warga emas berusia 72 tahun dari Sarawak yang kini buntu mencari jawapan tentang keberadaan wang simpanan hidupnya lapor Sinchew.

Penemuan Resit Dan Tragedi Rekod Hilang

Kisah ini bermula pada 25 Ogos 2006 apabila lelaki berkenaan bersama isterinya telah memasukkan wang berjumlah RM1 juta ke sebuah bank.

Simpanan tersebut dibagikan kepada dua akaun simpanan tetap, dengan setiap akaun dikenakan tempoh sekatan selama dua tahun.

Disebabkan pelbagai urusan, wang itu dibiarkan tanpa sebarang pengeluaran selama hampir 20 tahun.

Sehinggalah pada Februari 2026, ingatan beliau terimbas semula apabila secara tidak sengaja terjumpa salinan slip deposit tersebut semasa mengemas rumah.

Teruja dengan penemuan itu, beliau bergegas ke cawangan bank berkaitan di Sibu, Sarawak untuk membuat pengeluaran. Malang sekali, pegawai bank mengesahkan bahawa tiada sebarang rekod bagi kedua-dua akaun simpanan tersebut.

Buntu Hingga Terbang Ke Semenanjung

Kecewa dengan jawapan tersebut, lelaki itu terus membuat laporan polis. Beliau tidak berputus asa dan sanggup terbang ke Semenanjung Malaysia untuk merujuk perkara ini terus kepada bank pusat.

Namun, semakan di sana juga tidak membuahkan sebarang hasil.

Pada September 2026, beliau sekali lagi hadir ke bank di Sibu dengan diiringi pihak polis dan pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tempatan. Kunjungan itu tetap tidak mengubah keadaan apabila pihak bank kekal dengan pendirian bahawa tiada rekod penyerahan simpanan tersebut.

Ke Mana Hilangnya Wang RM1 Juta Itu?

Pihak polis membangkitkan kemungkinan bahawa wang berkenaan telah dipindahkan ke Jabatan Akuntan Negara Malaysia sebagai Wang Tidak Dituntut (WTD) memandangkan akaun tersebut sudah terlalu lama tidak aktif, sambil menegaskan bahawa wang tidak akan hilang begitu sahaja tanpa sebarang jejak.

Mangsa meluahkan rasa bingung dan kecewa atas apa yang berlaku ketika ditemui media.

“Saya sudah membawa dokumen ke bank dan pelbagai jabatan berkaitan, tetapi tiada seorang pun yang boleh memberitahu ke mana wang saya pergi. Ini adalah satu situasi yang amat menakutkan,” katanya kepada Sin Chew Daily.

Beliau amat berharap agar pihak berkuasa dan agensi berkaitan dapat campur tangan bagi menyiasat perkara ini sehingga mendapat jawapan yang pasti.