Disebabkan tekanan yang melampau, seorang jurugambar wanita dari Malaysia mendedahkan bagaimana beliau diganggu dan diikuti oleh seorang lelaki bernama Safiq Rosli selama bertahun-tahun.

Pendedahan yang dibuat olehnya di media sosial sejak semalam telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Fahmi Fadzil, Menteri Perhubungan dan Digital Malaysia.

Difahamkan bahawa gangguan ini sudah berlaku sejak 2016 lagi dan beliau telah mendokumentasikan gangguan yang terjadi kepadanya sebagai bukti bahawa perkara ini bukanlah suatu gurauan.

Dalam catatan di laman Instagram, wanita terbabit telah memuatnaik beberapa mesej yang dihantar suspek dan menceritakan betapa seksanya beliau bertahun-tahun kerana diganggu oleh lelaki yang sama.

“Hello, rakan IGers. Saya sudah tidak tahan dengan Shafiq Rosli  ini, AKA @sopert99,” katanya di bahagian kapsyen, memperincikan bagaimana kesabarannya diuji selama bertahun-tahun.

Menurut hantarannya, Safiq Rosli bertindak mengikutnya sehingga ke United Kingdom. Walaupun sudah ditahan oleh pihak berkuasa tempatan, dia berjaya melarikan diri dan terbang pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, apa yang merisaukan adalah beliau kembali membuat kemunculan semula dan meneruskan aktiviti gangguannya terhadap wanita terbabit.

https://www.instagram.com/p/Cul80HPMRlo/?img_index=2

Di dalam hantaran terbabit, dia turut mendedahkan bahawa Safiq Rosli telah menghantar beberapa kandungan lucah yang membuatkan beliau kurang senang dan tidak tahan lagi.

Dia yang trauma dengan kejadian tersebut menegaskan bahawa tingkah laku sebegitu tidak boleh dibiarkan dalam masyarakat, sambil menekankan keperluan mendesak untuk diambil tindakan.

Dalam rayuannya di laman Instagram, beliau secara langsung meminta bantuan kepada Polis Diraja Malaysia (@pdrmsia_official) untuk mengambil tindakan kepada Safiq, manakala beliau juga meminta keluarga Safiq untuk bertanggungjawab terhadap kelakuan anak mereka.