Hasrat Kim Pan-gon untuk menyertai Ulsan HD kini berdepan dengan halangan dimana kelab itu dilaporkan sedang berbincang dengan jurulatih lain bagi mengisi jawatan sebagai pengendali pasukan.

Menurut laporan media sukan Korea, Ulsan sedang berbincang dengan beberapa calon dan salah satu calon yang berbincang dengan kelab itu ialah jurulatih dari Korea yang aktif dalam saingan Liga China.

Baca Juga:

“Pelantikan jurulatih baharu akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Selain jurulatih Kim (Pan-gon), Ulsan diketahui berhubung dengan pelbagai calon, termasuk jurulatih Korea yang aktif dalam Liga Super China,” dipetik dari news.nate.

Ulsan sedang mencari ketua jurulatih baharu selepas Hong Myung-bo dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu bagi menggantikan Jurgen Klinsmann.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: FAM

Penghijrahan Pan-gon ke Ulsan bukan perkara asing buatnya susulan skuad Tigers merupakan kelab yang pernah diwakilinya sewaktu bergelar pemain profesional pada 1992 hingga 1996.

Ketika mengumumkan peletakan jawatan beliau, Kim Pan-gon tidak mendedahkan pasukan mana yang akan disertainya selepas ini dimana beliau hanya menegaskan mahu mencuba cabaran baharu selepas tugasnya selesai bersama Malaysia.

Jurulatih berusia 55 tahun itu turut menyatakan beliau sudah membina asas yang kukuh selain membuat satu sistem yang mampu untuk meningkatkan kualiti pasukan negara selama bergelar ketua jurulatih.

“Saya sudah membina sistem yang mana pasukan ini tidak akan terjejas. Kita sudah mempunyai filosofi permainan. Saya sudah membina karakter pemain Malaysia yang positif, agresif dan tidak mudah tunduk kepada pasukan lawan.

“Sebelum ini kita pernah dibolosi awal dalam permainan. Tetapi kita sentiasa bangkit. Seperti contoh ketika menentang Korea. Kita ketinggalan dan kemudiannya berjaya meraih keputusan seri,” katanya.

Dalam masa yang sama, Pan-gon menganggap negara ini mempunyai ramai pemain berbakat di peringkat akar umbi yang mampu untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan.

“Malaysia mempunyai banyak potensi yang kita perlu capai. Dari segi akar umbi, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) amat bagus. Kita sentiasa positif dan ketika ini bola sepak Malaysia ada potensi yang besar jadi kita perlu capai pada tahap yang lebih tertinggi,” tambahnya.