Berita baik buat pengguna Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) kerana kadar tol di kedua-dua lebuhraya tersebut diturunkan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Penurunan kadar tol antara 15 sen hingga 50 sen itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala; manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini pengguna kenderaan kelas 1 perlu membayar tol bagi laluan Lebuhraya BESRAYA bernilai RM2.00 sehala, manakala Lebuhraya LEKAS pula RM8.30 sehala.

Penurunan kadar tol itu yang selaras keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu, juga adalah sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan yang diputuskan kerajaan.

Tambah beliau lagi, penurunan kadar tol itu adalah bagi sepanjang tempoh konsesi kedua-dua tol lebuh raya berkenaan, berbanding kadar asal dalam perjanjian konsesi, dan disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

“Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuh raya, yang mana peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Alexander memaklumkan kerajaan sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya seluruh negara.

Katanya, langkah itu dilaksanakan tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi.