Lebih 1,000 projek kajian universiti di lima institusi pengajian  terkemuka Malaysia mencatatkan status ‘kurang memuaskan’ pada tahun 2023, dengan kos keseluruhan mencecah RM148.04 juta, lapor The Edge.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada Isnin lalu mendedahkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatatkan bilangan projek ‘kurang memuaskan’ tertinggi, iaitu 151 projek dengan perbelanjaan RM23.69 juta.

Laporan itu turut mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti-universiti penyelidikan memperkukuh pemantauan berkala terhadap prestasi dan pelaksanaan projek kajian universiti ini.

kajian universiti
Gambar hiasan

Tujuannya adalah untuk memastikan setiap projek mencapai objektif yang dirancang dan memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Lima Universiti Penyelidikan Terlibat

Selain UKM, empat universiti penyelidikan lain yang terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kelima-lima universiti ini menerima geran penyelidikan asas berjumlah RM285.44 juta pada tahun 2023.

Geran tersebut merupakan peruntukan tertinggi yang disalurkan oleh KPT kepada universiti tempatan, bertujuan meningkatkan kecemerlangan kajian universiti di Malaysia dengan menghasilkan teori, konsep, dan idea baharu yang berpotensi untuk diterjemahkan ke dalam penyelidikan gunaan.

kajian universiti
Gambar hiasan

Namun, daripada 2,077 projek yang menerima geran tersebut, hanya 236 projek menunjukkan kemajuan ‘baik’, manakala 571 projek berada pada tahap ‘memuaskan’.

Sebilangan besar projek lain dikategorikan sebagai ‘kurang memuaskan’ atau ‘bermasalah’.

Projek ‘Kurang Memuaskan’ dan ‘Bermasalah’

Projek kajian universiti ini diklasifikasikan sebagai ‘kurang memuaskan’ kerana mengalami kelewatan jadual atau memerlukan pemantauan lebih rapi.

Sementara itu, projek ‘bermasalah’ gagal memenuhi sasaran prestasi atau kewangan yang ditetapkan dan dicadangkan untuk dihentikan selepas dua amaran.

kajian universiti
Gambar hiasan

UTM mencatatkan 263 projek ‘kurang memuaskan’, diikuti USM (261 projek), UM (145 projek), dan UPM (111 projek).

Cadangan Ketua Audit Negara

Ketua Audit Negara mencadangkan KPT menilai permohonan daripada pusat pengurusan penyelidikan berdasarkan kebolehgunaan projek untuk mengelakkan projek terbengkalai atau dihentikan.

Selain itu, kementerian disaran mewujudkan “dasar yang jelas mengenai status baki peruntukan untuk projek penyelidikan yang telah selesai bagi memastikan dana tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti penyelidikan.”