Bayangkan anda sedang teruja merancang percutian di Kuala Lumpur. Anda menempah penginapan melalui platform seperti Airbnb atau Booking.com dengan harapan untuk berehat di tempat yang selesa dan cantik.

Namun, bagaimana jika anda tersalah pilih dan terdampar di sebuah lokasi yang dikenali sebagai ‘The Bund Shanghai’?

Walaupun namanya mungkin kedengaran gah dan eksklusif, realitinya ia disifatkan sebagai tempat paling menjijikkan yang mungkin pernah anda lihat.

Tempat ini bukanlah sebuah bangunan terbengkalai yang ditutup dengan papan untuk dirobohkan, sebaliknya ia adalah sebuah blok pangsapuri sebenar yang masih dihuni oleh manusia.

Melangkah ke Dalam ‘Mimpi Ngeri’

Buat seorang pelancong luar yang pernah datang ke sini, pemandangan di The Bund Shanghai ini seolah-olah tidak berubah walaupun selepas 18 bulan berlalu.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk, perkara pertama yang akan menyapa deria anda adalah bau hancing yang sangat kuat.

Kemudahan asas seperti lif juga langsung tidak berfungsi, memaksa pelawat dan penghuni melalui lorong-lorong kelam yang bersambung terus ke lorong belakang.

Ketika menyusuri lorong tersebut, perbualan ringkas ini membuktikan bahawa kawasan daif ini masih berpenghuni:
“Hai bang, apa khabar?” sapa seorang pelawat kepada salah seorang lelaki di situ.

“Baik,” balas penghuni tempatan tersebut dengan ringkas.

‘Sistem Pelupusan Sampah’ dari Atas Angin

Apa yang lebih mengejutkan adalah pemandangan di sekitar pangsapuri yang kelihatan persis seperti kawasan setinggan di Eropah.

Sikap segelintir penduduk di sini dalam menguruskan sisa buangan amatlah mendukacitakan. Apabila penduduk di tingkat atas ingin membuang sampah, mereka mengambil jalan mudah dengan hanya mencampakkannya terus ke bawah.

Ia bukan sekadar sampah sarap biasa. Barang-barang bersaiz besar seperti tilam terpakai, topi keledar, malah sisa serpihan motosikal turut dicampak ke bawah begitu sahaja, menjadikan kawasan lorong itu sebuah tapak pelupusan haram yang amat memalukan.

“Ini tempat paling menjijikan yang pernah saya lihat sepanjang hidup ini,” keluh lelaki tersebut.

Di Mana Peranan Pihak Berkuasa?

Keadaan bangunan ini menimbulkan tanda tanya yang besar: bagaimana pihak berkuasa Malaysia boleh membiarkan perkara ini berterusan?

Secara umumnya, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang indah dengan tahap penyelenggaraan infrastruktur yang sangat baik, termasuklah sistem jalan rayanya yang memuaskan.

Namun, tempat seperti ini benar-benar mencacatkan pemandangan dan menjatuhkan imej Kuala Lumpur secara keseluruhan.

Lebih mengejutkan lagi, apabila dia mendakwa ada yang menyewa di bangunan tersebut.

Oleh itu, satu seruan ikhlas disuarakan buat pihak berkuasa oleh lelaki itu yang mana berkata: “Sangat memalukan, pihak berkuasa Malaysia jika anda lihat video ini, tolong robohkan bangunan Bund Shanghai ini. Bangunan ini perlu pergi”.

Kemaskini DBKL

Memetik siaran hantaran DBKL menerusi akaun rasmi FB, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk TPr. Fadlun bin Mak Ujud, telah mengadakan lawatan turun padang ke Hicks Flat, Bukit Bintang bagi meninjau sendiri isu kebersihan dan penyelenggaraan susulan aduan orang awam.

‘Kalau Pihak Berkuasa Tengok, Tolong…’ - Pelancong Asing Trauma Jumpa Pangsapuri Paling Menjijikkan Di KL
Sumber Gambar: Facebook DBKL

Rentetan daripada lawatan tersebut, DBKL telah mengarahkan kerja-kerja pembersihan segera dilaksanakan di kawasan berkenaan sebagai tindakan awal.

Di samping itu, Pesuruhjaya Bangunan (COB) DBKL akan memanggil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Hicks Flat untuk satu perbincangan khas yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar sendiri bagi menyelaraskan pelan tindakan dan memperjelas tanggungjawab setiap pihak.

‘Kalau Pihak Berkuasa Tengok, Tolong…’ - Pelancong Asing Trauma Jumpa Pangsapuri Paling Menjijikkan Di KL
Sumber Gambar: Facebook DBKL

Memandangkan lokasi tersebut merupakan bangunan strata, penyelesaian jangka panjang isu ini memerlukan kerjasama serta komitmen penuh daripada pihak pengurusan, pemilik, dan penghuni bersama agensi berkaitan bagi memastikan persekitaran yang bersih dan selamat dapat dikekalkan.