Jemaah Malaysia memang disenangi oleh kerajaan Arab Saudi mahupun warga setempat kerana berbudi bahasa dan paling utama mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Menariknya, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada Tabung Haji malahan memuji tahap disiplin serta kebersihan yang dipamerkan oleh jemaah Malaysia di Masyair sebelum ini.

malaysia
Sumber Gambar: Kosmo

Dipetik dari Sinar Harian, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merangkap Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkongsi lanjut penghargaan yang diberikan menteri berkenaan, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah ketika bertemunya di dalam satu program pada Ahad lalu.

“Dr Tawfiq secara berseloroh berkata kepada saya kalaulah semua jemaah haji dunia macam Malaysia, beliau boleh tidur dengan tenang.

“Itu gambaran selesanya kerajaan Arab Saudi kepada Tabung Haji dan jemaah kita kerana rekod terbaik dari segi kebersihan di Masyair tahun lalu,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar jemaah tahun ini untuk mengekalkan rekod sebelum ini dengan memastikan kawasan Masyair ditinggalkan dalam keadaan bersih tanpa sebarang sampah-sarap.

“Sebab itu kita lancar kempen yang telah dimulakan sejak 2017 ini untuk menggalakkan jemaah haji Malaysia menjaga kebersihan diri dan persekitaran Masyair.

“Kita juga nak bantu Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk menjadi model terbaik yang boleh diikuti jemaah haji negara lain,” ujarnya.