Bertugas dalam bidang kemanusiaan di medan perang ni, pasti kau akan bertemu dengan banyak orang, berjumpa dan berkenal dengan mereka di lapangan. Aku jugak begitu.

Semasa pertama kali aku nak masuk ke Aleppo, mereka yang mula-mula aku jumpa ada berberapa orang. Salah seorangnya bernama Tariq. Umurnya masih awal 20an. Sepatutnya menyambung pelajaran di Turki tetapi dia tangguhkan untuk bantu rakyat negaranya yang susah akibat perang.

Tariq ni tugas dia sebagai salah seorang pengurus lapangan untuk bantuan kemanusiaan di Aleppo. Kiranya segala tugas menyampaikan bantuan, dari mencari orang susah sampailah bantuan tu sampai ke tangan penerima dia akan uruskan. Jadi tanggungjawab dia agak besar di lapangan.

Pertama kali aku jumpa Tariq, aku lihat orangnya tak banyak berbicara. Hanya bercakap apa yang perlu sahaja. Orangnya serius.

Dengan aku pun dia jarang bercakap. Mungkin sebab pertama kali kenal dan dia pun tak berapa pandai English tapi lama-kelamaan selepas dua-tiga kali misi, aku dan Tariq menjadi agak rapat.

Walaupun ada masalah bahasa, tapi kadang-kadang bila ada masa dia akan dok berborak jugak dengan aku walaupun aku hanya paham 30% je kalau tak guna penterjemah.

para-syuhada-1

para-syuhada-2

para-syuhada-3

Tugas lain Tariq bila kedatangan kami orang luar ke Aleppo ialah menjaga segala keperluan kita orang bermula dari tempat tinggal sampai lah ke logistik.

Hinggakan bila kami mintak elektrik nak cas kamera dan laptop, dia pergi cari generator untuk kami.

Antara perkara yang aku tak boleh lupa, waktu misi Aidiladha 2014 aku berjalan berdua dengan Tariq di kawasan Old Aleppo.

Kawan-kawan lain semua dah jalan ke depan tinggal aku berdua je dengan dia kat belakang. Dia pun merapati aku dan memulakan perbualan.

Lebih kurang mcm ni lah perbualan kami, sambil tersenyum dia kata (diterjemah ke Bahasa Melayu).

“Aiman, aku lepas raya ni nak kawin dah,” sambil tunjuk isyarat sarungkan cincin kat jari.

Aku pun balaslah Masyallah, very good brother congratulation! Sambil tepuk-tepuk belakang dia.

Lepas tu dia sambung, “Aiman, jom tinggal di Halab (Aleppo) dengan aku. Get married here. Shishani. Very beautiful! Kemudian kami pun berhuhu bersama.

Tapi atas sebab keadaan Aleppo yang makin tak selamat dan kerja-kerja kemanusiaan makin banyak, Tariq terpaksa menangguhkan dulu perkahwinan dia.

Ada banyak lagi perkara-perkara yang aku tak boleh lupa bila dok dengan Tariq. Kadang-kadang bila aku ambik wuduk dia dok perhati je. Lepas tu dia tegur, “Aiman, basuh sekali cukup. Halab takde air, kita kena jimat.”

Kadang bila dah habis hantar bantuan, sambil berehat kita orang pun akan layan internet kalau ada elektrik, tapi dia dok tengok je smartphone dia.

Aku ingatkan dia dok layan FB tapi bila aku intai screen phone dia rupanya dia dok mengaji Quran dan hafal hadith.

Kalau kami tidur beramai-ramai di rumah rehat, dia akan tidur sekali dengn kita orang dan masakkan Indomie bila kita orang lapar.

Sebelum tidur dia akan tanya dan pastikan dulu ada apa-apa keperluan tak. Kalau semua okay baru dia akan tidur.

Jadi, aku dengan dia ni lama-lama jadi agak rapat lah. Bila ada misi ke Syria kalau dapat masuk ke Aleppo aku pasti akan bertanyakan Tariq dan dia pun pasti akan tunggu kedatangan kita orang dengan gembiranya.

Misi terbaru kita orang nak masuk masa Ramadhan lepas, terpaksa dibatalkan atas sebab keselamatan. Jadi pintu sempadan ditutup. Hajat aku nak jumpa dengan Tariq dan kawan-kawan lain di Aleppo terpaksa ditangguhkan dulu.

Akhir skali aku dok dengan Tariq ialah masa misi Aidiladha 2015, kali terakhir kita orang dapat masuk Syria.

Perbualan akhir kita orang berlaku dalam jeep depan kedai roti. Sambil menunggu roti masak dan dibungkus untuk diagih-agihkan kepada orang miskin.

Tariq datang dari arah kedai masuk dalam jeep dan hulurkan aku sebotol jus buah. Aku pun kata kat dia, “Tariq, esok kita orang nak balik ke Turki dah. Lain kali kita jumpa lagi ya kalau kita orang dapat masuk Syria lagi!”

Tariq pun jawab, “Insyaallah, akhi. Lain kali aku akan tunggu korang datang”. Akhi ni kira macam bro la.

Aku pun berseloroh dengan dia, “Kalau tak jumpa lagi, kita akan jumpa di jannah Insyaallah!” Serentak kami ketawa dan dia pun balas, “Insyaallah. Nanti di jannah aku dapat kahwin dengan bidadari!”

Dan pagi tadi setelah hampir 10 bulan tak berjumpa Tariq sebab selalu terkandas di sempadan, aku dapat mesej dari salah sorang kawan di Turki.

Assalamualaikum Ya Aiman, Tariq is Syahid

para-syuhada-4

para-syuhada-5

para-syuhada-6

Bila aku dapat berita ni tengkuk aku jadi meremang. Segala perasaan sedih dan gembira bercampur baur sekali.

Aku gembira sebab dia dapat syahid tapi lepas tu aku jadi sedih sebab lepas ni aku tak dapat nak jumpa dia lagi.

Semua kejadian-kejadian aku dengn dia terus datang dalam bentuk flashback sampai aku bawak motor nak ke pejabat pun boleh berkaca air mata lah sebab datang flashback aku dengan Tariq ni.

Hari ni Tariq dah dijemput pulang. Sgala kesengsaraan dia sebagai orang Syria yang saban hari dibom akhirnya tamat. Tugas dia dah selesai.

Tidurlah dengan aman sahabatku ibarat tidurnya pengantin baru.
Berseronoklah engkau dengan bidadari yang telah menanti.

Ini sahaja yang mampu aku nukilkan buat sahabatku Tariq buat kali terakhir.
Harapan aku supaya dihadapan Allah nanti, jangan lupakan nama aku ya. Tak dapat kita berjumpa di Aleppo, kita jumpa lagi di syurga nanti! Insyaallah.

*Kali terakhir gambar Tariq aku rakamkan di balik runtuhan rumah akibat di bom di Aleppo. Dan gambar pengkebumian dia malam tadi. Dia dikebumikan dalam keadaan masih berdarah segar. Selayaknya untuk orang yang syahid dijalan Allah.

انا لله وانا اليه راجعون

Daripada Muaz RA katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Firman Allah Taala (dalam Hadith Qudsi) orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganku akan mendapat minbar-minbar daripada cahaya yang diinginkan oleh para nabi dan syuhada”. (Hadith Riwayat at-Tirmizi, katanya : Hadith ini Hasan lagi Sahih)