Baru-baru ini, tular sebuah rakaman kamera litar tertutup di media sosial yang berjaya menyentuh hati jutaan penonton

Video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak kecil sedang minum susu bersendirian sebelum berbaring di atas katil, seolah-olah menanti kepulangan seseorang ke pangkuannya.

Kanak-kanak tersebut, Muhammad Al-Faizih yang baru berusia satu tahun tujuh bulan, terpaksa ditinggalkan sementara oleh bapanya yang keluar mencari rezeki sebagai penghantar p-hailing di Kolaka, Sulawesi Tenggara.

@ramapratama699

🥹🥹🥹

♬ suara asli – kata kata lirik – Cemilin12

Menggalas Tanggungjawab Selepas Perpisahan

Bapa kepada kanak-kanak tersebut, Tri Rama Dandi yang berusia 26 tahun, kini memikul tanggungjawab membesarkan anak tunggalnya itu secara sendirian.

Sejak berlakunya perpisahan dengan bekas isteri pada tahun 2025, Tri bukan sahaja keluar mencari nafkah untuk kelangsungan hidup mereka, malah dia juga perlu memainkan peranan sebagai seorang ibu.

Kini, kehidupan mereka berdua hanya bergantung harap antara satu sama lain di sebuah bilik sewa yang serba sederhana tanpa kehadiran pengasuh.

Pengorbanan Demi Mencari Rezeki dan Keselamatan Anak

Demi memastikan keselamatan anaknya sentiasa terjamin semasa dia keluar bekerja, Tri mengambil inisiatif memasang kamera litar tertutup di bilik sewa mereka yang disambungkan terus ke telefon bimbitnya.

Sistem kerjanya yang bergerak membolehkan dia memantau anaknya dari jauh, dan setiap kali selesai menghantar pesanan pada jarak dekat, dia akan bergegas pulang untuk menjenguk anaknya.

@ramapratama699

♬ Segala Perkara – Ⓠⓤⓔⓝⓝ💚🦋

Namun, sekiranya dia menerima pesanan yang jaraknya melebihi tiga kilometer, dia sanggup membawa anak kecil itu bersama menaiki motosikal kerana bimbang meninggalkannya bersendirian untuk tempoh yang terlalu lama.

Anak Sebagai Sumber Kekuatan

Di sebalik ketabahan yang ditunjukkan, Tri mengakui bahawa dia pernah melalui fasa paling gelap dalam hidupnya sehingga terlintas niat untuk menamatkan riwayatnya sendiri.

Walau bagaimanapun, wajah anak kecilnya itu menjadi asbab dan kekuatan utama untuk dia terus bertahan meneruskan kehidupan.

Meskipun ahli keluarganya ada menawarkan bantuan, Tri memilih untuk berdikari dan menumpukan sepenuh perhatian kepada membesarkan anaknya yang tidak pernah merasai kasih sayang serta kehangatan seorang ibu sejak dari kecil.