Pada hujung minggu lalu sekumpulan pemandu kereta Honda Civic Type R, Mercedes dan Audi dari Malaysia ditahan di Thailand selepas pihak berkuasa menerima aduan.
Penduduk tempatan membuat aduan kumpulan kereta dari Malaysia itu didakwa berlumba, menghalang jalan dan membuat bising sehingga mengganggu persekitaran awam.
Baca Juga:
- Polis Thailand ‘Sekolahkan’ Pemandu Civic Type R, Mercedes Dari Malaysia Hormati Undang-Undang Jalan Raya
- Rakyat Thailand Berang Orang Malaysia Lumba Haram Di Hat Yai
- Ingatkan Kental, Pelancong Wanita Dari Negara Haram Ini ‘Lock’ Akaun Selepas Hina Thailand
Bagaimanapun kumpulan itu menafikan dakwaan mereka berlumba pada ketika itu.

Menerusi satu kenyataan rasmi dikongsikan, mereka meminta maaf kepada penduduk setempat di Hat Yai, lebih-lebih lagi di Ban Rai-Klong Pom dan Daerah Kohong.
“Kami sedar bahawa sistem ekzos kenderaan kami yang diubah suai mungkin telah menimbulkan ketidakselesaan sepanjang pemanduan singkat tersebut.
“Namun, kami ingin menjelaskan bahawa laporan berita berkenaan insiden ini agak diperbesar-besarkan. Kami tidak berniat untuk berlumba, mengganggu, atau membahayakan komuniti,” kata kumpulan kereta itu.
Kumpulan kereta Malaysia buat rakaman video promosi

Menurut mereka lagi, tujuan utama kunjungan mereka ke Thailand ialah untuk merakam video promosi yang memaparkan budaya automotif, bukannya mengganggu ketenteraman awam.
Mereka juga tampil secara sukarela ke balai polis tempatan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan perkara ini.
“Kami menerima tanggungjawab sepenuhnya dan telah menyelesaikan isu berkenaan dengan penuh hormat bersama pihak berkuasa tempatan.
“Sekali lagi, kami merakamkan rasa kesal yang mendalam kepada seluruh warga Hat Yai dan memberi jaminan bahawa kami akan lebih peka serta menghormati undang-undang pada kunjungan akan datang.
“Kami amat menghargai layanan mesra rakyat Thailand dan komited untuk mengekalkan imej positif pelancong Malaysia serta peminat automotif,” jelas kumpulan itu.
Terdahulu Polis Thailand telah menahan enam buah kenderaan dan 10 warga Malaysia selepas mendapat aduan mengenai gangguan ketenteraman awam.
Polis Thailand turun ke lokasi untuk memeriksa rakaman CCTV sepanjang laluan yang digunakan pemandu warga Malaysia terbabit sebelum menahan mereka.
Pihak berkuasa juga mendapatkan khidmat pemandu pelancong sebagai jurubahasa sebelum mengadakan perbincangan berhubung undang-undang di bawah Akta Lalu Lintas Thailand.