Pada hari ini, 21 Disember 2024, sepatutnya berlangsung satu acara konsert di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Bagaimanapun konsert yang sepatutnya menampilkan 12 artis ikonik daripada Malaysia dan Indonesia itu diumum terpaksa dibatalkan pada lewat malam semalam oleh penganjur.
Baca Juga:
- Stadium Palmeiras Ditutup Dengan Pentas Sempena Konsert Roberto Carlos
- Penganjur Tampil Jelaskan Sebab Sebenar Konsert Aisha Retno Terpaksa Dibatalkan
- Satu Lagi Konsert Mega Uji Padang SNBJ Sebelum Aksi Piala AFF
Insiden itu menyebabkan ramai bakal pengunjung berang dengan pembatalan konsert tersebut. Lebih-lebih lagi pengunjung yang datang dari luar kawasan Lembah Klang. Difahamkan ada pengunjung yang datang dari beberapa negara jiran terdekat.
MAEPS tampil berkongsi kenyataan rasmi berhubung pembatalan konsert itu.
“Dengan segala hormatnya, kami ingin memaklumkan bahawa konsert yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember 2024, di Hall A, MAEPS Serdang telah dibatalkan oleh pihak penganjur atas sebab-sebab tertentu.
“Sebagai pihak pengurusan tapak, kami ingin menegaskan bahawa peranan kami hanyalah menyediakan kemudahan lokasi dan tidak terlibat dalam perancangan atau pengurusan acara tersebut.
“Sehubungan dengan itu, sebarang pertanyaan, aduan, atau isu berkaitan pembatalan ini hendaklah dirujuk terus kepada pihak penganjur acara,” petik kenyataan rasmi.
Nama penuh, jawatan, nombor telefon dan emel pihak penganjur ada dikongsikan
MAEPS menyatakan pihaknya memahami kekecewaan bakal para pengunjung dan semua pihak yang terkesan oleh pembatalan konsert tersebut.
Pada masa sama MAEPS memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai sokongan serta pemahaman orang ramai.
Semalam, ribuan bakal pengunjung acara konsert yang sepatutnya berlangsung hari ini mengamuk apabila mendapat tahu ia dibatalkan serta-merta.
Menerusi kenyataan rasmi penganjur, acara tersebut terpaksa dibatalkan kerana kekurangan dana untuk menampung kos penganjuran.
Dalam satu kenyataan rasmi pada bulan November lalu, difahamkan sebanyak 4,000 tiket terjual. Harga tiket asas bermula RM55, sehinggalah RM450.
Ramai pembeli tiket berasa kurang senang dengan alasan yang diberikan penganjur dan berharap refund boleh dapat semula dalam masa terdekat.