Isu sempadan antara Malaysia dan Indonesia sering menjadi topik hangat, namun kali ini penyelesaiannya dilihat lebih harmoni dan jelas.
Terbaru, penduduk di tiga buah kampung di Kalimantan Utara yang kini disahkan berada dalam wilayah Malaysia dilaporkan bakal dipindahkan ke lokasi baharu.
Meskipun lokasi kediaman mereka kini secara rasminya menjadi sebahagian daripada peta Malaysia, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo, menegaskan bahawa status kewarganegaraan penduduk terbabit sedikit pun tidak berubah.
Mereka akan kekal sebagai rakyat Indonesia dan tidak akan diberikan kerakyatan Malaysia lapor Berita Harian.
Proses Perpindahan Dan Pampasan Sedang Diuruskan
Menurut Raden Mohammad Iman, pihak kerajaan Indonesia sedang giat menguruskan proses perpindahan serta pampasan buat penduduk yang terjejas.
Walaupun bentuk pampasan masih dalam perbincangan, kerja-kerja pengesahan dokumen tanah dan keluasan kawasan sedang giat dilakukan bagi memastikan hak pemilik tanah terbela.
Menariknya, penduduk di tiga kampung berkenaan nampaknya sudah lama bersedia. Difahamkan, majoriti daripada mereka telah pun mengosongkan rumah masing-masing dan berpindah ke kota lain atau tinggal bersama keluarga buat sementara waktu.
Hanya segelintir kecil sahaja yang masih dikesan berada di situ, namun dijangka akan menyusul tidak lama lagi.
Hasil Rundingan Dua Negara
Situasi ini bukanlah berlaku secara mengejut. Status kawasan terbabit sebenarnya telah menjadi subjek rundingan yang panjang antara kerajaan Malaysia dan Indonesia melalui badan pengelola perbatasan.
Kesediaan penduduk untuk berpindah dengan tenang menunjukkan bahawa komunikasi antara pihak berkuasa dan rakyat di kawasan sempadan tersebut berjalan dengan baik, demi menghormati kedaulatan wilayah kedua-dua buah negara.