Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terkena tembakan pada bahagian kepala dalam kejadian di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.35 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa berada di pondok berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak sebelum satu das tembakan dilepaskan.

Senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ialah senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius pada bahagian kepala.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu mengesahkan kecederaan akibat tembakan pada kepala sebagai punca kematian.

Erwansyah berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan, serta Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana senjata api itu diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga menyebabkan kejadian berkenaan.

Pemeriksaan forensik dan balistik turut dijalankan bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa.

Polis juga sedang meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen dan kemungkinan berlaku pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.