Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Ampang Jaya, dua individu telah ditahan kerana kes pecah kenderaan di Taman Cahaya pada 25 Ogos lalu.
Salah seorang suspek adalah kanak kanak lelaki berusia 12 tahun bersama dengan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun.
Mangsa yang berusia 37 tahun adalah seorang pekerja e-hailing. Mangsa membuat laporan polis setelah kenderaannya dipecah masuk pada Ahad lalu.
Dia mendapati keretanya telah dipecah masuk dan digeledah oleh seseorang. Ini selepas dia melihat keadaan di dalam kereta MPV Perodua Alza miliknya berselerak ketika dia mahu menggunakan kenderaan tersebut.
Selain itu, beberapa barangan berharga milik mangsa yang ada di dalam kenderaan juga telah hilang dilarikan oleh pencuri tersebut.
Lalu mangsa terus membuat laporan polis tentang kejadian yang menimpanya. Bertindak di atas laporan tersebut, pihak polis bertindak segera untuk menahan dua orang suspek di Pandan Indah dan merampas beberapa barangan berharga.
Menurut laporan Buletin TV3, motosikal yang digunakan suspek berusia 21 tahun itu turut dirampas dan ianya adalah motosikal yang dilaporkan hilang di Shah Alam sebelum ini.
Kemudian polis juga mendapati suspek memiliki 9 rekod jenayah lampau. Kedua duanya disaring untuk ujian air kencing namun negatif.
Suspek masing masing direman 4 hari dan juga 1 hari bermula 29 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, menurut kenyataan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.