Menjadi kebiasaan buat kita menggunakan sesebuah perisian secara haram kerana boleh didapati secara percuma dan mudah didapati di atas talian. Bagaimanapun, ramai yang terlepas pandang bahawa ia adalah suatu perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

Baru-baru ini, seorang pengguna FB bernama Mohd Faiz atau lebih dikenali sebagai mahabob berkongsi satu kisah berhubung syarikatnya yang menggunakan perisian secara ‘lanun’ telah membawa padah.

Sumber Gambar: YouTube

Kisahnya bermula apabila pada awal tahun lelaki ini mendapat emel dari pihak pengeluar perisian Autodesk yang mana pihak mereka nak datang melawat pejabat. Faiz mendedahkan bahawa dia boleh dikenakan tindakan undang-undang jika pihak Autodesk dapat mengesan penggunaan perisian secara haram di pejabatnya.

Susulan itu, dia mengatur strategi untuk format semula komputer yang sudah dipasang dengan perisian secara haram dengan harapan tidak dapat dikesan lagi.

Namun tindakan ini tidak berhasil apabila dua minggu kemudian pihak Autodesk dapat mengesan dua buah komputer mempunyai enam lesen secara haram. Pihak Autodesk malah berkongsi graf bagi tarikh penggunaan dari bulan Ogos hingga Disember 2023.

Difahamkan pengeluar perisian berjaya mengesan penggunaan perisian lanun itu menerusi alamat IP komputer masing-masing.

Lebih teruk lagi, apabila emel susulan daripada pihak Autodesk memaksa mahabob untuk membeli enam lesen perisian Autodesk selama tiga tahun langganan bernilai RM120,000 atau dikenakan tindakan undang-undang. Dia meluahkan rasa gelisah kerana tidak tahu bagaimana mahu mencari sejumlah wang yang besar sedangkan musim projek masih perlahan.

Lanjutan daripada itu, salah seorang kenalannya, Juzaili dapat berhubung dengan vendor Autodesk. Bagaimanapun, mereka gagal membuat rundingan bersama Autodesk kerana mereka masih berkeras mahu dapatkan sejumlah wang yang dinyatakan.

Namun, tuah menyebelahi mereka apabila pihak vendor Autodesk berlembut hati untuk memberikan diskaun sehingga RM40,000 untuk empat lesen perisian jurutera selama setahun.

Sewaktu insiden tersebut berlaku, Tuan Mohd Faiz bermuhasabah diri dan mempelajari bahawa penggunaan perisian secara lanun adalah haram berdasarkan video ceramah agama yang ditonton di TikTok. Hal ini kerana anda dikira mengambil hak orang lain walaupun bukan Islam.

Oleh itu, dia berhasrat pada 2025 bahawa syarikatnya tidak akan menggunakan lagi perisian secara haram tidak kira Microsoft atau sebagainya.

Sumber Gambar: Mohd Faiz

Dia memaklumkan bahawa pasukan ukur memang dah menggunakan perisian Briscyad sebagai ganti kepada Autodesk. Sementara untuk pasukan arkitek pula hanya ada satu lesen rivet yang sah.

Hantaran tersebut ternyata telah membuka mata netizen bahawa perisian secara lanun adalah menyalahi undang-undang dan boleh disaman jika dikesan oleh pihak pembangun perisian tersebut.

 

Sumber