Sebuah universiti di India terpalit kontroversi selepas didakwa mempersembahkan robot buatan China sebagai hasil ciptaan sendiri di sebuah sidang kemuncak kecerdasan buatan (AI) utama negara itu.

Acara AI itu diadakan di Bharat Mandapam sempena India AI Impact Summit, yang dipromosikan sebagai antara perhimpunan AI terbesar di Global South.

Lebih menarik, pelaburan bernilai lebih AS$100 bilion dalam projek AI turut diumumkan, termasuk melibatkan syarikat gergasi seperti Microsoft dan konglomerat Adani.

Menurut laporan Reuters, pihak universiti berkenaan diarahkan meninggalkan acara tersebut selepas insiden itu tular dan mengundang kecaman ramai.

Apa Yang Berlaku?

Dalam satu sesi di sidang kemuncak AI di New Delhi, wakil universiti mendakwa robot anjing atau robodog yang dinamakan “Orion” dibangunkan oleh pusat kecemerlangan mereka sendiri.

Namun netizen pantas mengesan ada perkara yang tak kena.

Robot tersebut sebenarnya dikenal pasti sebagai Unitree Go2, iaitu robot komersial keluaran syarikat China, Unitree Robotics yang dijual pada harga pasaran sekitar RM10,900.00.

Video pembentangan itu terus tular di media sosial dan mencetuskan persoalan tentang kredibiliti universiti terbabit.

Menteri Turut Padam Video

Lebih panas, Menteri Teknologi Maklumat India pada awalnya berbangga memuat naik klip pembentangan tersebut sebelum bertindak memadamkannya selepas kontroversi tercetus.

Pihak universiti kemudiannya menafikan mereka mendakwa robot itu sebagai ciptaan sendiri. Dan mendakwa orang ramai telah salah faham.

Jurucakap Universiti Galgotias, Profesor Neha menafikan bahawa pihaknya pernah meng’claim’ bahawa robot anjing itu adalah hasil daripada ciptaan mereka.

Namun, dua sumber kerajaan memberitahu bahawa universiti tersebut tetap diminta mengosongkan reruai mereka di acara berkenaan.

Cakap Berbelit Ke?

Netizen turut mempersoalkan kenyataan Neha yang dianggap cakap berbelit.

Ini kerana jelas sekali beberapa bulan lalu pihak universiti telah mengumumkan bahawa robot anjing Orion itu adalah hasil ciptaan mereka dan projek tersebut menelan perbelanjaan 350 crore.

Sehari selepas kontroversi robot anjing tersebut, profesor Neha didakwa telah meletakkan status terbuka pada akaun LinkedInnya. Menjangkakan bahawa dirinya akan dipecat.